Syafil Syazwan Jefri dan Affan Rostam

Klang: Jenazah pelawak, Allahyarham Hamid Gurkha, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Jati jam 9.50 malam tadi dengan dihadiri lebih 300 orang termasuk keluarga dan kenalannya.

Jenazah Hamid sebelum itu disahkan meninggal dunia jam 2.19 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain seterusnya dibawa ke Masjid Kota Raja untuk disempurnakan jenazahnya.

Anak keempat Allahyarham, Mohd Affandi Hamid, 59, berkata, bapanya adalah individu yang pemurah dan tidak pernah berkira mengenai wang ringgit selain amat penyayang dalam keluarga.

"Orangnya 'selamba', pemurah dan tak berkira. Dari segi bayaran untuk tawaran kerja, apa sahaja yang orang bagi dia tak kisah dan saya pun selalu menemaninya untuk ke mana-mana undangan 'show' dan sebagainya. Katanya, apa pun bayaran yang diberi, itu adalah rezeki yang dah Allah tulis untuknya.

"Dengan anak-anak dan cucu-cucu dia memang mesra dan tak boleh berpisah. Kali terakhir dia datang ke rumah saya adalah pada Aidilfitri tempoh hari. Selepas itu mulalah dia batuk-batuk dan jatuh sakit, itulah ceritanya," katanya kepada Harian Metro.

Affandi juga turut berkongsi pesanan arwah kepadanya dan adik-beradik yang lain supaya sentiasa menjaga hubungan sesama mereka.

"Pesanan arwah, dia minta kami adik-beradik jangan menjauhkan diri, berhubung selalu, jangan tinggalkan mak (waktu masih ada) dan dia minta maaf kalau ada salah silap," katanya.

Selain keluarga, beberapa rakan artis turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir buat pelakon era 70-an itu antaranya penyanyi, Datuk Nash dan pelakon, Mat Over.

Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, 63, ketika ditemui menyifatkan Hamid umpama ayah kepadanya dan dia juga cukup mengenali keluarga Hamid.

"Memang satu kehilangan yang sangat besar untuk negara kita kerana satu permata sudah meninggalkan kita selama-lamanya. Dia diibaratkan seperti ayah buat saya. Saya kenal isteri dan anak-anaknya. 

"Dia pun saya panggil bapak dan mak pun saya panggil mak. Dia seorang yang sangat rendah hati. Saya rasa terkilan kerana tak dapat berjumpa dengannya semasa saya balik dari Mekah sebab dia dah masuk ke hospital," katanya.

ORANG ramai mengusung jenazah Hamid Gurka. FOTO FAIZ ANUAR
ORANG ramai mengusung jenazah Hamid Gurka. FOTO FAIZ ANUAR

Sementara itu, Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Mat Yasin, 70, turut berkongsi kenangan bersama Hamid yang juga tinggal tidak jauh dari kediamannya.

"Dia orang yang baik dan umpama bapa. Walaupun kami tak terlalu rapat, tapi dia memang sangat baik. Semasa dia sihat, kami selalu joging bersama memandangkan tempat tinggal kami tak jauh antara satu sama lain," katanya.

Turut hadir, Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau menggambarkan Hamid sebagai insan seni yang berjiwa kental dalam perjuangannya.

"Saya mengenali arwah ketika saya menjadi Timbalan Menteri Penerangan. Dia banyak terbabit dengan RTM pada ketika itu dan dia rapat dengan saya apabila dia menawarkan diri untuk hadir ke acara-acara saya di Bagan Datoh dan acara-acara lain.

Sebenarnya, walaupun dia seorang pelawak, dalam jiwanya sangat kental dari segi perjuangan dan seorang yang serius. Saya mengenalinya sebagai insan seni berjiwa halus dan ramai yang tak memahami. Saya sangat menghargai jasanya secara peribadi," katanya.

Isnin lalu Harian Metro melaporkan Hamid atau lebih mesra disapa Pak Hamid menjalani rawatan di wad pemantauan HTAR, sejak Khamis lalu. Beliau ditahan di wad berkenaan akibat masalah kesihatan paru-paru yang dialaminya.

Sebelum ini, Hamid dilaporkan sakit dan hanya terlantar di rumahnya akibat dijangkiti Covid-19 sebelum dimasukkan ke wad berikutan masalah kesihatan paru-paru.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Panglima Badol pada 1978 tidak mengalami penyakit kronik. Hamid dan Timah Abdul Hamid, 80, mendirikan rumah tangga enam dekad pada April 1957.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 11:19 PM