Afieq Shazwan.
Afieq Shazwan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Memang saya dah tutup buku untuk berkasih atau apa-apa saja," kata penyanyi Afieq Shazwan, 25, mengulas hubungannya dengan bekas kekasih yang juga penyanyi, Wani Kayrie.

Bagaimanapun, mereka kekal berkawan dan Afieq menyifatkan, sebagai manusia masing-masing tidak dapat lari dari kesilapan.

"Saya pun ada silap saya juga. Kami pun dah bersemuka. Saya beritahu dia apa silap masing-masing dan dia pun terima dua-dua ada salah.

"Kami juga tak tahu salah siapa. Jadi, saya yang putuskan kami hanya berkawan saja. Ikutkan saya tak kisah nak dedahkan yang kami bercinta sebelum ini tapi dia yang minta rahsiakan. Terserah pada masing-masing kalau kata itu punca orang lain kacau daun," katanya berkenaan hubungan cinta yang mula berputik pada 2018 dan berakhir tahun lalu.

Afieq berkata, kesilapan yang dilakukan Wanie terhadapnya mungkin boleh diterima orang lain, namun dia agak sukar menerimanya.

"Bagi saya benda itu terlalu berat. Saya pun tak boleh cakap sama ada nak berpatah balik. Saya terima dia kalau jodoh saya tapi perkara ini membabitkan keluarga. Ia agak susah.

"Walaupun yang nak kahwinnya saya tapi dalam keluarga ikatannya ada. Jadi, saya ambil langkah buat masa ini berkawan saja. Kalau memang dah tertulis kami berjumpa semula, tiada masalah dan hubungan dengan keluarga boleh baik, saya berserah pada takdir. Kalau keluarga boleh terima, saya okey," katanya. Afieq yang juga pelakon berkata, keluarganya menyedari kekusutan yang dilaluinya berbulan-bulan apabila putus cinta dengan Wanie.

"Mereka pun tahu saya nampak 'ting tong' selepas kami putus cinta. Pergi kerja, balik kerja tapi tak macam orang. Boleh jadi ada peluang kedua untuknya tapi buat masa ini bagi saya bertenang dulu. Luka pun tak terubat lagi," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan penyanyi, Iman Troye, Afieq berkata, mereka pernah berduet dalam sebuah lagu dan kemudian digandingkan dalam sesi fotografi bersama.

"Saya tak pernah berbual dengan perempuan lain sebelum ini kerana jaga hati si dia. Tapi akhirnya hati sendiri tak terjaga," katanya yang mengakui masih sayangkan Wanie.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 12:29 PM