Safie (kanan) bersama Cikgu Shafi ketika belajar vokal.
Safie (kanan) bersama Cikgu Shafi ketika belajar vokal.

Kuala Lumpur: Kemunculan usahawan terkenal Datuk Seri Vida menerusi lagu Ku Ikhlaskan mendapat kritikan dan kecaman terutama dari segi kualiti vokal.

Malah, ramai membandingkan nyanyian Vida dengan usahawan Safiey Ilias dalam lagu Syinta Gila dan Apa Salah Syinta, dianggap jauh lebih baik.

Safiey, 26, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias berkata, dia mengikuti kelas vokal Shafizawati Sharif atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shafi juga guru vokal program Akademi Fantasia dan Big Stage 2022.

"Netizen pernah tanya Cikgu Shafi apabila Iqbal Zulkifly menjadi peserta program itu. Saya ada baca komen yang mana agak terkejut apabila nama saya di 'tag' oleh warganet di ruangan komen di Facebook, Instagram dan YouTube.

"Nak ketawa pun ada juga. Sebab mereka komen suara saya sedap dalam lagu Syinta Gila hasil tunjuk ajar Cikgu Shafi. Kalau nak tahu, saya ikut hampir lapan sesi sebagai persediaan sebelum merakamkan lagu itu. Tak bolehlah setakat berlatih satu atau dua sesi dan terus nak bertanding dalam program nyanyian hebat.

"Masa itu mungkin orang tak ambil kisah sangat saya belajar dengan siapa. Tapi bagi saya yang memang 'zero' ilmu nyanyian, saya tahu saya tak reti, jadi saya rela berlatih dan ambil kelas. Jadi selepas Iqbal tersingkir, baru agaknya nitizen perasan Cikgu Shafi yang ajar saya vokal dulu," katanya.

Menurut Safiey adalah tidak adil jika mahu membuat perbandingan vokal antara dirinya dengan Vida atau Iqbal.

"Kami bukan penyanyi, tapi kami cuba untuk menyanyi. Jika ada banyak kekurangan adalah wajar. Cuma, apa boleh dibuat adalah belajar, cari inisiatif dan jangan sekerat jalan. Kalau boleh janganlah bandingkan kami. Lagipun, lagu kami genre berbeza.

"InsyaAllah, saya pun ada perancangan nak teruskan belajar kelas vokal dengan Cikgu Shafi. Bagi saya, ia satu terapi dan dapat menghilangkan rasa tekanan. Saya seronok. Cikgu Shafi pun banyak membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 9:17 PM