NABILA HUDA
NABILA HUDA
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Nabila Huda menjalani kuarantin kendiri di Perlis selepas disahkan positif Covid-19 kali kedua. 

Nabila berkata, kesan Covid-19 yang dialami ketika ini lebih teruk berbanding jangkitan kali pertama tahun lalu. 

"Sekarang saya kena kuarantin kali kedua, namun yang tak seronok kerana berada di Perlis, yang mana berjauhan daripada keluarga. Sebelum pulang ke Perlis saya ada melakukan ujian saringan namun negatif. Sebaik saja tiba di Perlis, keputusan positif pula. 

"Sewaktu positif kali pertama, tak macam ini. Masa tu cuma hilang deria rasa dan bau yang mana teruk juga tapi tiada rasa sakit.

"Kali kedua ini saya ada beberapa simptom seperti sakit tekak yang melampau, selesema dan demam yang 'on-off'," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Abil dia menjalani kuarantin di Perlis memandangkan dia berada di lokasi penggambaran filem Telaga Suriram arahan pengarah Osman Ali. Turut sama disahkan positif adalah pembantunya.

"Saya hanya ingin berkongsi pengalaman hari keempat dijangkiti Covid-19 buat kali kedua. Tahap oksigen turun sehingga 94 pada waktu malam. Kalau pengalaman pertama dahulu tidak pernah serendah ini. 

"Selain itu, saya turut mengamalkan merebus bunga cengkih, makan bawang putih yang tidak dimasak dan pelbagai lagi. Mujur juga saya sudah mendapat dos penggalak, Insya-Allah semuanya baik-baik saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 3:06 PM