SERING tampil sebagai ‘opening band’ untuk konsert kumpulan rock seperti XPDC dan May.
SERING tampil sebagai ‘opening band’ untuk konsert kumpulan rock seperti XPDC dan May.
Ridzuan Abdul Rahman


MESKIPUN negara masih berada dalam pandemik Covid-19, tidak bermakna semua usaha penggiat seni terbantut begitu saja.

Bahkan ramai yang melahirkan rasa syukur kerana kesempatan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh mereka apabila dapat melahirkan idea bagi penghasilan karya terbaharu.

Tidak ketinggalan turut berbuat demikian ialah lima sahabat yang bersatu menubuhkan Hakikat Band dan mula mengasaskan kumpulan itu sejak 2017.

Hakikat Band dibarisi pemuzik berpengalaman iaitu Rosly (vokal), Faizal (gitar), Wujang (gitar), Matsyah (bass) dan Zam (drum) yang kini mampu menarik nafas lega apabila tampil dengan album sulung berjudul Binasa Badan.

"Kami bersyukur album ini berjaya juga dihasilkan walaupun terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri ketika penghasilannya.

"Dalam album ini, kami tampil dengan genre muzik heavy metal, manakala nama Hakikat pula terinspirasi daripada album May berjudul Hakikat di mana kami selalu memainkan lagu May ketika 'jamming' dan membuat persembahan.

"Minat mendalam terhadap kumpulan 'otai' May itu sendiri membuatkan kami memilih Hakikat sebagai nama kumpulan," kata Faizal.

Menurutnya, mereka pernah mengeluarkan single pertama berjudul Kedamaian pada 2018 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

NAMA Hakikat Band inspirasi dari album Hakikat, kumpulan May.
NAMA Hakikat Band inspirasi dari album Hakikat, kumpulan May.

"Ia membakar semangat kami seterusnya mendorong untuk bekerja lebih keras lagi bagi menghasilkan album penuh.

"Akhirnya kami berjaya menyiapkan album Binasa Badan yang menjalani proses rakaman di studio FGI Production dengan Fauzi Aisunam yang bertindak sebagai penerbit.

"Album Binasa Badan adalah strategi awal kami untuk memikat hati pendengar serta peminat muzik heavy metal tempatan," katanya.

Lagu dalam album Binasa Badan semuanya adalah hasil idea dan ciptaan anggota Hakikat Band berserta rakan-rakan mereka.

"Hampir semua lagu ini berkisarkan mengenai kehidupan, jasmani dan rohani. Lebih sinonim, ia juga digarap menjadi lagu untuk diteladani dan dirungkai secara positif.

"Album ini dikeluarkan dalam format 'digipack' selaras dengan cita rasa peminat yang sukakan bentuk fizikal yang boleh dikategorikan cukup menarik berbanding 'jewel case'," katanya lagi.

Abum terbitan Mentari Merah, organisasi yang aktif menganjurkan pertunjukan pentas sekitar Ipoh dan Kuala Lumpur ini mula berada di pasaran sejak November lalu.

Selain album, Hakikat Band turut mengeluarkan produk lain seperti kemeja-T, pelekat dan 'button badge'.

Peminat juga boleh melayari YouTube Hakikat Official dan FGI Production untuk menikmati lagu mereka.

Selain itu, peminat boleh mendengar lagu kumpulan ini di platform digital terkenal seperti Spotify, Joox, Denzer dan KKBOX.

Sebanyak enam lagu dimuatkan iaitu Binasa Badan, Muka Poster, Hitunglah, Pesanan Ku, Kedamaian dan Redha Mulia ini boleh diperoleh peminat dengan harga RM30, manakala baju Hakikat, RM60.

Justeru, untuk maklumat lanjut mengenai Hakikat boleh melayari platform Facebook Mentari Merah II.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 6:10 AM