FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit drama, Siti Rosmizah memohon kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memberi kelonggaran terhadap pembabitan pelakon kanak-kanak untuk penggambaran drama.

Siti Rosmizah berkata, setakat ini mereka tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Finas dan berharap sangat supaya watak kanak-kanak dibenarkan untuk terbabit dalam penggambaran drama.

"Lagipun Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sudah maklumkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun boleh menerima suntikan vaksin dan perlu mendapat kebenaran ibu bapa masing-masing.

"Jadi, sekiranya ibu bapa pelakon kanak-kanak ini sanggup untuk anak mereka divaksin, adakah Finas akan benarkan kanak-kanak ini berlakon?

"Saya takut nanti kalau mereka sudah mendapatkan vaksin, tapi mereka masih tak boleh berlakon," katanya dalam sidang media secara maya mempromosikan kesinambungan drama Cukup Derita Itu yang bakal menemui penonton bermula hari ini di slot Samarinda TV3.

Menurut Siti Rosmizah, sebagai penerbit dia terkilan apabila skrip dan jalan cerita drama Cukup Derita Itu

terpaksa dirombak kerana tiada pembabitan pelakon kanak-kanak.

"Bayangkan bagaimana watak Ellani (lakonan Ruhainies) yang terpaksa membawa watak sedih tanpa ketiadaan anak di sisi.

"Dia hanya terpaksa bermain dengan prop seperti katil bayi untuk menarik perasaan sedih sedangkan tiada sesiapa di dalam itu. Bagi saya, ia menyukarkan emosi pelakon untuk menjayakan watak itu dan tidak sempurna di mata saya.

"Saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan semula kerana awal tahun depan saya bakal memulakan penggambaran drama 7 Hari Mencintaiku 3, jadi macam mana saya nak masukkan watak kanak-kanak kalau tak boleh.

"Sekiranya masih tidak dibenarkan saya terpaksa juga rombak semula skrip disebabkan perkara ini. Takkan dalam satu drama tiada langsung watak kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 3:59 PM