MELAKONKAN watak jahat, Malek.
MELAKONKAN watak jahat, Malek.
Norhayati Nordin


NAMA pelakon Raja Afiq, 27, pastinya tidak asing pada penggemar drama tempatan, apatah lagi sebelum ini dia cukup dikenali dengan karya Sayangku Kapten Mukhriz dan Seindah Tujuh Warna Pelangi di slot Akasia TV3.

Walaupun masih aktif dalam bidang lakonan, namun nama Raja Afiq seakan-akan 'tenggelam' apabila tidak banyak kisahnya disiarkan media selain dia juga ligat di media sosial membuat hantaran terkini bersama isteri, Soffwany Yusoff.

Ditemui ketika sidang media secara virtual drama Gerak Khas Undercover baru-baru ini, Raja Afiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali berkata, dia sangat teruja dapat bekerjasama dalam karya terbitan Skop Productions itu.

"Saya sangat meminati drama aksi dan didapati kebanyakan karya terbitan Skop Productions terutama siri aksinya banyak yang hebat. Sebagai pelakon, siapa tidak teringin nak bekerjasama dengan mereka. Jadi, sekarang adalah peluang saya.

"Dalam drama Gerak Khas Undercover ini agak mencabar juga kerana saya melakonkan watak antagonis sebagai Malek iaitu orang kanan kepada penjenayah buruan, Tony Bono yang dilakonkan Datuk Rosyam Nor.

"Saya juga bangga kerana dapat berlakon di samping pelakon berkaliber dan banyak pengalaman seperti Rosyam. Dia banyak membantu dari segi lakonan dan saya amat beruntung dengan gandingan kami," katanya.

Menurut Raja Afiq, dia juga adalah peminat pada semua lakonan Rosyam yang disifatkan cukup mantap dan berkesan. Justeru, apabila dapat bekerjasama dan berlakon sebagai 'orang kanan' pula, dia enggan melepaskan peluang itu.

RAJA Afiq teruja berlakon di samping Rosyam.
RAJA Afiq teruja berlakon di samping Rosyam.

"Apabila sudah berlakon dengan Rosyam, saya balik ke rumah dan bercerita dengan ibu. Saya rasa puas sangat kerana ia memberi cabaran untuk saya melakonkan watak Malek dengan sebaik mungkin. Ia cukup menjadi pembakar semangat.

"Lagipun, sebelum ini kebanyakan drama yang saya lakonkan menjurus kepada kisah cinta dan sebagai lelaki romantik. Namun, dalam drama Gerak Khas Undercover kali ini banyak perbezaannya. Saya secara tak langsung dapat teroka watak baharu.

"Nak tahu jahat saya itu macam mana, kena tonton drama ini. Apapun, saya pasti penonton tidak akan kecewa dengan karya Gerak Khas Undercover kerana ia mengetengahkan penceritaan yang baharu. Terus terang, kisahnya amat menarik," katanya.

Ditanya juga tawaran berlakon diterimanya, Raja Afiq berkata, rezeki masih tidak putus. Cuma, memandangkan sekarang masih bergelut dengan pandemik Covid-19, maka dia lebih berhati- hati. Katanya, dia selesa memilih karya drama dengan watak yang sesuai.

"Alhamdulilah, rezeki saya dalam kerjaya lakonan sentiasa ada. Banyak juga drama yang sudah saya lakonkan setakat ini. Tetapi, yang pasti saya akan meneliti watak dan jalan cerita sesuai. Saya serius dalam kerjaya lakonan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 6:30 AM