THE Hotel tampil isu hangat yang berlaku dalam masyarakat.
THE Hotel tampil isu hangat yang berlaku dalam masyarakat.
Georgie Joseph

MULA ditayangkan esok (15 September), pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam, drama The Hotel bakal merungkai kisah panas yang berlaku dalam masyarakat termasuk hubungan skandal.

Menariknya, siri arahan Helmi Yusof dan terbitan Michael Ang ini cuba menampilkan isu berani yang jarang diketengahkan kepada masyarakat. Sekali gus, ia menjadi tarikan utama untuk sebuah naskhah segar buat penonton.

Menurut Helmi, mereka ingin penonton mengambil teladan daripada isu yang sebenarnya banyak berlaku, namun tidak dibincangkan meluas. Semestinya, kisah itu menjadi kekuatan penting untuk The Hotel.

"Subjek yang kami ketengahkan dalam siri ini cukup berlainan. Selain isu sosial kebiasaan, perihal berskandal, wanita gemar lelaki muda dan lain-lain menjadi topik panas dalam cerita ini.

"Selain itu, kami juga jadikannya lebih kuat dengan corak karakter yang berwarna-warni. Contohnya watak wanita psiko, penggoda dan 'anak ikan'.

MIRA Filzah menggalas watak sebagai Raisa.
MIRA Filzah menggalas watak sebagai Raisa.

"Mungkin untuk penonton kebanyakan, ia akan sedikit membuatkan mereka terperanjat. Apapun, ia adalah isu normal yang berlaku dalam kalangan kita semua," katanya.

Bagi Michael pula, dia yakin naskhah itu bakal memberi kesedaran kepada penonton bahawa intipatinya realistik. The Hotel baginya akan mampu membuka lagi mata mereka berhubung kisah sebegitu.

"Sebenarnya kalau ikutkan kisah digarap ini memang normal pun berlaku dalam masyarakat kita. Cuma, bukan semua pengarah dan penerbit berani ketengahkan untuk tatapan umum.

"Namun, kami tampil dengan idea berani seperti kisah seorang bintang lucah dalam drama ini. Tunjuk saja kisah sebegini yang jarang-jarang dirungkai.

"Takkan asyik-asyik jalan cerita mengenai mak cik 'membawang'?" katanya.

Selain jalan ceritanya, gandingan tiga pelakon iaitu Mira Filzah, Sean Lee dan MK juga jelas menjadi daya penarik The Hotel. Ketiga nama itu pun bukan calang-calang dan sangat berpengaruh.

Bagaimanapun, pastinya penampilan penyanyi MK yang juga anggota K-Clique paling mencuri perhatian. Mana tidak, MK masih setahun jagung dan tidak pernah mencuba lakonan sebelum ini.

MK akui kekok mulanya pertama kali berlakon.
MK akui kekok mulanya pertama kali berlakon.

Berkongsi pengalamannya, anak jati Sabah itu akui kekok pada awal penggambaran. Dia hampir tidak dapat mengawal jiwa pemalunya, namun bersyukur dapat belajar banyak perkara.

"Demi persediaan, saya banyak bertanya kepada rakan pelakon terdekat sebelum memulakan penggambaran. Selepas itu, saya mendapat tunjuk ajar daripada semua yang terbabit dalam produksi pula.

"Memang banyak sangat yang saya belajar serta pengalaman baharu. Saya rasa pengalaman ini pasti berguna jika saya ke set penggambaran lain pula selepas ini.

"Saya juga sangat teruja kini The Hotel bakal ditayangkan. Tidak sabar melihat reaksi penonton dan berharap mereka akan menyukai lakonan saya," katanya.

Dalam pada itu, Mira pula mengakui wataknya sebagai Raisa jelas percubaan baharu yang tidak pernah digalasnya. Justeru, dia seronok apabila dapat cuba sesuatu yang cukup berbeza sebagai pelakon.

"Watak Raisa adalah seorang anak tunggal yang cukup rapat dengan ibunya. Bagaimanapun, dia memiliki kecelaruan dalam personalitinya.

"Meskipun kelihatan baik dan lembut, tapi tidak semestinya wataknya juga begitu. Dia ada sikap psiko dan memang sangat berbeza dengan watak saya pernah lakonkan sebelum ini," katanya.

Selain Mira, MK dan Sean, siri itu turut dibintangi Natasha Elyzza, Yasmin Hani, Datin Paduka Eina Azman, Daler Yusuf, Nabil Aqil, Asha Merican, Ku Faridah, Farah Ahmad dan Alif Hadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:20 AM