BEAVAN akui kostum Cruella diciptanya sangat mencabar.
BEAVAN akui kostum Cruella diciptanya sangat mencabar.
Georgie Joseph

(Yang menemu bual pereka kostum filem Cruella, Jenny Beavan secara virtual, baru-baru ini)

PADA usia 70 tahun, pereka kostum, Jenny Beavan memang tidak perlu diperkenal lagi dalam bidang perfileman. Pemenang dua kali trofi Oscar ini memang cukup dikenali.

Berbekalkan pengalaman gah dalam profil karyanya, Beavan mengakui akui tugasannya bukan mudah. Setiap filem membabitkannya adalah pengalaman baharu.

Ia termasuk mereka kostum untuk filem dinanti ramai, Cruella lakonan Emma Stone dan Emma Thompson yang kini ditayangkan di platform penstriman Disney+ Hotstar sejak kelmarin.

"Setiap filem adalah cabaran baharu untuk saya. Ia bermakna saya kena bermula dari bawah untuk mengembangkannya sebelum hasilkan kostum paling sempurna bagi filem itu.

"Tiada istilah sudah kaya pengalaman bermakna sudah cukup bagus dan tidak lakukan kesilapan. Ketelitian perlu diambil berat berdasarkan watak serta jalan cerita supaya kostum dihasilkan adalah tepat," katanya.

KOSTUM digayakan Emma Stone antara tarikan hebat filem itu.
KOSTUM digayakan Emma Stone antara tarikan hebat filem itu.

Selain Cruella, Beavan turut menghasilkan kostum antaranya untuk filem Mad Max: Fury Road, The King's Speech, Anna and the King, Sense and Sensibility dan Sherlock Holmes.

Untuk Cruella, Beavan berkongsi dia sangat menekankan konsep fesyen yang gah, klasik dan sarat dengan watak. Ini kerana setiap watak dalam filem itu cukup kuat.

Justeru, banyak perkara yang dititikberatkan termasuk pemilihan fabrik serta fesyen era perlu tepat. Menurutnya, dia sendiri kena mengkaji kesesuaian kostum itu terhadap watak terutama watak utama.

"Dalam Cruella, ia sendiri bertunjangkan kisah fesyen. Fesyen yang digayakan Cruella sebagai pemberontak manakala Baroness wanita berkuasa dengan gaya hidup mewah.

"Untuk menghidupkannya, penghasilan kostum gelap dan kebanyakannya hitam dibuat khas untuk Cruella. Untuk kostum gaun gahnya, saya berusaha mencipta gaun besar dengan cantuman ratusan fabrik," katanya.

Sebaik 'trailer' Cruella dilancarkan sebelum ini, ramai terpukau dengan kostum yang nyata kekuatan utama dalam filem itu. Ia membuatkan penonton teruja untuk menontonnya.

Babak pakaian Cruella bertukar dan terbakar terlalu ikonik dan begitu realisitik sekali gus menjadi daya tarikan terhebat filem itu.

Namun, Beavan mengakui babak itu sudah berada di luar bidang kuasanya.

Menurutnya, dalam dunia realiti, babak terbakar dan bertukar rupa agak sukar dilaksanakan.

"Saya memang harapkan babak itu dibuat secara realistik. Malangnya ia dijayakan dengan bantuan teknik imej janaan komputer.

"Kalau ikutkan, memang sukar untuk menghasilkan kostum yang boleh terbakar dengan selamat. Apa-apa pun, saya gembira kerana keseluruhan kostum digayakan itu mendapat pujian," katanya.

Selain Emma Stone dan Emma Thompson, Cruella turut dibintangi antaranya Emily Beecham, Kirby Howell-Baptise, Joel Fry, Mark Strong, John McCrea, Paul Walter Hauser, Niamh Lynch, Linette Beaumont dan Jamie Demetriou.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 6:15 AM