POSTER Program Amal COVAiD #BaikSemula.
POSTER Program Amal COVAiD #BaikSemula.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Kerinduan orang ramai untuk menyaksikan persembahan selebriti terkemuka tanah air akhirnya terubat apabila Program Amal COVAiD #BaikSemula anjuran Media Prima Audio menemui penonton sejak 12 tengah malam tadi di saluran YouTube Hot FM selama 24 jam tanpa henti.

Program yang bertujuan mengumpul dana untuk petugas barisan hadapan itu menampilkan lebih 30 artis terkenal tanah air yang membuat persembahan dari rumah.

Antara yang membuat persembahan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Hujan, Yonnyboii, Bunkface, SonaOne, Masdo, Hael Husaini dan Hazama and The Penglipurlara.

Tidak ketinggalan Ara Johari, Amir Masdi, Sufian Suhaimi, Nabila Razali, Ernie Zakri, Syamel, Kmy Kmo, Luca Sickta, Dolla, Faizal Tahir, Siti Nordiana, Tuju dan Alif Satar & The Locos yang turut menghiburkan penonton.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran berkata, program amal yang diterajui stesen radio Hot FM itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berkorban dalam menangani pandemik Covid-19.

"Apa yang mereka lakukan sangat membanggakan kami dan negara. Inilah masanya untuk kami menunjukkan rasa terima kasih dan memberi sokongan berterusan kepada mereka menerusi penganjuran Program Amal COVAiD #BaikSemula.

"Oleh itu, marilah seluruh rakyat Malaysia, kita bersama-sama menyalurkan sumbangan ikhlas kepada tabung amal ini supaya dapat membantu petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan," katanya. Selain persembahan selebriti tanah air, acara terbabit turut menyajikan program berbentuk keagamaan ataupun motivasi bersama Ustaz Elyas Ismail.

Orang ramai yang berminat untuk menderma boleh melakukannya ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP di nombor akaun (MAYBANK: 5141-0532-3170).

Setiap sumbangan yang diterima akan digunakan untuk membeli peralatan perubatan dan makanan serta keperluan harian untuk disalurkan kepada mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 3:54 PM