AHMAD Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mensasarkan kira-kira 80 peratus ahlinya sudah mendapat suntikan vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya untuk dos pertama sehingga penghujung bulan ini.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, masih ramai pengarah yang menjadi peneraju hadapan dalam menghasilkan karya seni ini belum divaksin walaupun mereka aktif di dalam industri.

"Di bawah FDAM, ada seramai 1,400 orang pengarah berdaftar. Dari jumlah itu, kira-kira lima peratus sudah mendapat dua dos vaksin. Manakala, 25 peratus lagi baru mendapat dos pertama dan selebihnya belum lagi divaksin.

"Jadi, saya sangat menggesa mana-mana pengarah yang masih belum divaksin supaya segera mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau menyerahkan nama mereka kepada FDAM untuk dibantu," katanya.

Menurut Ahmad, penting untuk pengarah terutama mereka yang aktif berkarya mendapatkan vaksin supaya boleh bersiap sedia untuk mengalas tanggungjawab pengarah semula sebaik sektor industri seni dibuka nanti.

"Saya mahu semua ahli FDAM mendapat vaksin supaya boleh memulakan urusan kerja masing-masing dengan lebih efektif. Dalam soal ini, saya berharap kerajaan dapat mempercepatkan pemberian vaksin kepada penggiat seni terutama pengarah kerana mereka adalah pengemudi utama untuk penghasilan sesuatu karya seni.

"Saya juga mendapati di dalam perkembangan industri seni kita sebenarnya sudah ada ramai pengarah terbaik yang berkaliber untuk menghasilkan karya bercirikan Malaysia dan diketengahkan kepada penonton di negara luar," katanya.

Terdahulu, Mat London hadir pada sesi bicara langsung FDAM secara virtual di Facebook persatuan itu yang mengupas tajuk Impak Pandemik Covid-19 Terhadap Penggiat Industri Kreatif.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 9:16 PM