Heliza Helmi antara artis yang menunjukkan solodariti kepada Palestin.
Heliza Helmi antara artis yang menunjukkan solodariti kepada Palestin.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Barisan selebriti tanah air dan luar negara juga masing-masing menunjukkan solidariti kepada Palestin selepas serangan Israel terhadap rakyat di sana.

Perkongsian hantaran di media sosial menggunakan tanda pagar #SHAMEONISRAEL yang menyifatkan tindakan kejam Israel itu sebagai sesuatu yang tidak bermaruah.

Antara yang memberi sokongan seperti Imam Muda Asyraf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Sarah Suhairi, Faezah Elai, Shiha Zikir, Iesya Toh, dan ramai lagi.

Dengan poster merah dan hitam yang tertulis #SHAMEONISRAEL itu digunakan sebagai tanda sokongan rakyat Malaysia kepada penduduk bumi Palestin.

Poster itu turut diiringi dengan keterangan yang mengajak masyarakat supaya menghebahkan sokongan dan menjadi tanda solidariti.

"Ayuh bangkit dan tularkan poster ini, tanda kita tidak tidur. Jika saudara kita di Baitulmaqdis dan Gaza jadikan dada mereka sebagai tembok pelindung, kenapa kita tidak lancarkan serangan cara tersendiri di media sosial tanda solidariti kepada Palestin," tulis poster itu.

Selain itu, terdapat juga selebriti lain yang mula menukar gambar profil Instagram masing-masing menggunakan bendera Palestin antaranya Hafiz Hamidun, Wanns Ahmad, Zizan Razak dan ramai lagi.

Di Twitter, mula tular tangkap layar komen pelakon Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Henry Golding yang membalas ciapan ahli perniagaan Amerika, Andrew Yang.

"You are an actual twat (Kamu benar-benar orang yang bodoh)," tulis Henry.

Komen itu disuarakan Henry selepas ahli perniagaan itu menulis sokongannya terhadap Israel yang kononnya diserang oleh pengganas.

Pelakon, Que Haidar juga aktif di Twitter membuat ciapan dan mengajak rakan selebriti supaya bersuara menentang kekejaman Israel.

"Sudah tiba masanya lebih ramai selebriti melakukan perkara sama," tulisnya.

Que turut mengepilkan tangkap layar beberapa ciapan selebriti luar negara.

Antara yang memberi sokongan terhadap Palestin adalah Natalie Portman, The Weeknd, Bella Hadid, Viola Davis dan ramai lagi.

Tekanan memuncak sejak beberapa minggu lalu di kejiranan Sheikh Jarrah apabila penduduk Israel menyerbu kawasan itu selepas mahkamah Israel mengusir keluarga Palestin yang mendiami kawasan berkenaan.

Penduduk Palestin yang melakukan protes sebagai solidariti dengan penduduk Sheikh Jarrah menjadi sasaran tentera Israel.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 5:05 PM