SINGLE kedua Isa Khan sebuah karya romantis bagi  yang hangat bercinta dan ingin meluahkan rasa melalui lagu.
SINGLE kedua Isa Khan sebuah karya romantis bagi yang hangat bercinta dan ingin meluahkan rasa melalui lagu.
Syafil Syazwan Jefri


KARYA terbaharu berjudul Karunia Terhebat dendangan penyanyi Isa Khan turut mencuri tumpuan ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, Isa melancarkan single keduanya ini di majlis resepsinya bersama isteri yang juga pelakon, Nur Risteena pada 12 Mac lalu.

Pada hari bahagia itulah, turut dilancarkan video muzik Karunia Terhebat yang juga lagu hasil ciptaan komposer Ayid Sidki manakala liriknya ditulis oleh Isa sendiri.

Dari segi muzik, sejujurnya ketika pertama kali mendengar lagu ini, fikiran saya terkenangkan lagu berentak perlahan berbahasa Inggeris, My Immortal yang dipopularkan oleh Evanescence pada 2003.

Bukanlah 100 peratus sama tetapi, bahagian permulaan lagu Karunia Terhebat yang dimainkan dengan ketikan piano mengimbau kenangan kepada lagu itu.

'Jiwa' lagu itu dapat dirasakan seperti ada persamaan yang tak dapat diketepikan.

Tatkala Isa melagukan melodi dalam Karunia Terhebat, nampaknya ada perkembangan positif dari sudut vokal Isa yang nampaknya semakin matang jika dibandingkan dengan single pertamanya, Syurga Yang Sempurna.

ANTARA adegan dalam video muzik Karunia Terhebat.
ANTARA adegan dalam video muzik Karunia Terhebat.

Mungkin ada bahagian yang masih boleh diperbaiki, namun itu terserah kepada Isa sama ada dia ingin lebih serius dalam muzik dan nyanyian atau pun tidak.

Kisah yang disampaikan Isa menerusi Karunia Terhebat adalah mengenai cinta hatinya, Risteena yang dianggap sebagai hadiah daripada Tuhan buatnya.

Baginya, Risteena adalah satu anugerah terbaik yang mengubah kehidupannya sekali gus membawanya melangkah ke fasa berumah tangga.

Dalam lagu ini, jelas kedengaran jiwa Isa yang diterjemahkan dalam bentuk lirik dan apa yang ingin disampaikannya kepada isteri tercinta.

Tak hanya sesuai untuk kedua-dua mereka, saya dapat rasakan bahawa karya ini sesuai dijadikan karya romantis buat mereka yang hangat bercinta dan ingin meluahkan rasa melalui lagu.

Video muziknya juga tidak kurang hebat, apabila menampilkan Isa dan Risteena sebagai bintang utama serta penonton terus dibawa masuk ke alam percintaan mereka.

Lokasinya di Kota Melaka dan beberapa tempat menarik di negeri bersejarah itu juga menambah keindahan video muzik Karunia Terhebat.

Kata-kata puitis yang dilantunkan Risteena di bahagian akhir Karunia Terhebat melengkapkan video muzik ini sekali gus ditutup dengan babak daripada majlis akad nikah mereka.

Namun, yang menjadikan saya sedikit kecewa adalah, alangkah indahnya jika judul lagu ini menggunakan Bahasa Melayu sedia ada seperti 'kurnia' untuk menggantikan perkataan 'karunia'.

Di samping membawa maksud yang sama, tentunya secara tak langsung ia dapat mengangkat karya tempatan dan Bahasa Kebangsaan.

Lagu: Karunia Terhebat

Penyanyi: Isa Khan

Komposer: Ayid Sidki

Lirik: Isa Khan

Terbitan & edaran: Datu Entertainment

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:23 AM