ALIF berada di hospital untuk rawatan. FOTO IG
ALIF berada di hospital untuk rawatan. FOTO IG
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Walaupun merindui bapa mereka, anak-anak Alif Satar iaitu Alisha Anugerah, 5; Ariana Mecca, 3; dan Muhammad Ali, 1, memahami bapa mereka sedang dirawat di hospital selepas terkena jangkitan Covid-19, Ahad lalu.

Isterinya, Sha Dila Hadid berkata, dalam masa sama mereka memberi semangat semoga Alif segera sembuh.

"Apabila Alif dimasukkan ke hospital, anak-anak faham. Sebab sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu lagi kami sudah memberi pemahaman kepada mereka mengenai virus ini. Jadi, mereka sudah faham.

"Memang mereka rindu, tapi saya tahu mereka memberikan semangat kepada Alif. Mereka faham bapa mereka duduk di hospital untuk rawatan. Mereka juga faham kenapa sekarang kena pakai gelang merah jambu supaya tak boleh keluar.

"Alhamdulillah, semua anak-anak okay, sihat dan tidak ada gejala. Hanya nak tunggu ujian saringan kedua saja," katanya.

Mengenai keadaan Alif, Sha Dila berkata, penyanyi lagu I Want You To Love Me itu berada dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang gejala.

"Insya-Allah, kalau semua okay mungkin awal bulan depan dia sudah boleh keluar. Dia juga masih tidak ada gelaja," katanya.

Menurut Sha Dila, Alif sangat rapat dengan anak-anak dan sentiasa merindui mereka walaupun baru tiga jam keluar bekerja.

"Sewaktu menjalani penggambaran di Melaka, Alif memang ulang-alik sebab dalam masa sama dia kena buat persediaan untuk separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35). Jadi, kalau dia balik rumah, anak-anak sudah tidur. Kalau dia nak pergi Melaka pula, anak-anak belum bangun.

"Jadi, sejak minggu lalu lagi dia sudah rindu anak-anak. Apatah lagi sekarang yang terpaksa berjauhan, lagilah dia rindu. Kalau dia pergi kerja sehari atau tiga jam, dia akan rindu. Dia akan minta video atau nak buat panggilan video. Pendek kata, dia sangat rapat dengan anak-anak," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan isteri dan tiga anak Alif disahkan negatif Covid-19 selepas membuat ujian saringan, kelmarin dan sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 11:46 AM