Hidayah sudah ada kedai.
Hidayah sudah ada kedai.
Najiy Jefri


Sabak Bernam: Isteri Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah kini sudah memiliki sebuah kedai di Sabak Bernam, Selangor selepas lima bulan mengusahakan perniagaan cempedak goreng secara kecil-kecilan.

Hidayah menerusi satu hantaran di Instagram hari ini meluahkan rasa gembira dan syukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

"Alhamdulillah syukur pada Allah. Hari Jumaat yang penuh barokah ni, syukur pada Allah berkat, kesabaran, titik peluh berniaga kecil-kecilan cempedak goreng saya mampu mempunyai kedai yang tak seberapa ini.

"Terima kasih kepada abang saya kerana bantu dapatkan kedai ini. Terima kasih mak, abah dan keluarga tercinta yang sentiasa doakan serta memberi sokongan.

"Terima kasih juga kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang meluluskan permohonan Kedai No 19 degan cepat. Alhamdulillah syukur," tulisnya.

Hidayah atau nama sebenarnya Nor Hidayah Mohd Ali, 28, memulakan perniagaan cempedak goreng sejak April lalu di sebuah gerai tepi jalan secara kecil-kecilan.

Menerusi laporan Harian Metro, Hidayah sanggup mengenepikan perasaan kekok dan malu demi mencari rezeki halal dan dalam masa sama membesarkan anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Hidayah dan Abam berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.

Abam meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari mengalami demam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 8:46 PM