SAHARUL bersama isteri dan kereta baharu yang dibelikan. FOTO INSTAGRAM SAHARUL RIDZWAN
SAHARUL bersama isteri dan kereta baharu yang dibelikan. FOTO INSTAGRAM SAHARUL RIDZWAN
Georgie Joseph


ISTERI pelakon Saharul Ridzwan iaitu Qaabila Deena Emir Mohammed Akif Emir atau Deena tidak sangka suaminya menghadiahkan kereta jenis Honda Jazz sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang keempat.

Deena berkongsi kegembiraannya itu di media sosial menerusi sebuah foto berlatar belakangkan kereta barunya berwarna putih.

"Kejutan daripada suami! Masya Allah. Terkejut betul tadi sebab ulang tahun perkahwinan kami adalah pada 16 September, tapi dapat hadiah hari ini. Dia suruh siap tadi sebab nak rakam video untuk buat ulasan.

"Habislah comot muka Deena, maskara meleleh sebab menangis. Allahuakbar sayang Saharul Ridzwan, terima kasih atas cinta dan usaha. Doa saya sentiasa bersama kamu. Alhamdullilah," katanya.

Sementara itu, Saharul berkata, dia percaya setiap suami wajib menggembirakan isteri dengan berkongsi rezeki dan bukannya menganggap pasangan sebagai beban sebaliknya pembawa rezeki.

"Kalau rasa isteri itu beban, maka ia akan jadi beban dalam hidup. Tapi jika anggap isteri sumber asbab rezeki, ia akan jadi 'magnet rezeki'.

"Nak rezeki sentiasa datang, dahulukan isteri lebih daripada orang lain sebab bidadari kita tak pernah berhenti mendoakan dan dia adalah punca rezeki dalam rumah tangga," katanya.

Saharul berkata, jantung sebuah rumah ialah seorang isteri. Jika hatinya tak bahagia, maka seisi rumah akan kena tempias nampak tak bermaya.

"Untuk semua suami, sayangilah isteri anda supaya dia sentiasa gembira dan berdoa untuk kita. Syukur pada Allah pemberi rezeki. Tiada yang boleh beri sesuatu melainkan Allah. Terima kasih Allah," katanya.

Saharul dan Deena berkahwin pada 16 September 2016 dan dikurniakan cahaya mata pertama bernama Muhammad Luth Ali yang kini berusia tiga tahun.

Jun lalu, mereka menimang anak kedua iaitu bayi perempuan yang dinamakan Fateema Azzahra.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:40 PM