WAN (kiri) ketika mengarahkan drama Bila Hati Berbisik. FOTO Amirudin Sahib
WAN (kiri) ketika mengarahkan drama Bila Hati Berbisik. FOTO Amirudin Sahib
WAN (tengah) bersama pelakon.
WAN (tengah) bersama pelakon.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


SERIK apabila mendapat skrip yang perlu melalui proses olahan agak banyak membuatkan pengarah Mohd Ridzuan Mat Hussin ambil keputusan berehat seketika daripada mengarah drama.

Selepas setahun menyepi, Ridzuan atau lebih dikenali Wan Cromox, kini turun semula ke lokasi untuk penggambaran drama 26 episod berjudul Bila Hati Berbisik yang membariskan pelakon seperti Tania Hudson, Adriana Adnan, Kuna, Zaki Azeman dan Ikmal Amri.

Wan berkata, dia akhirnya bersetuju mengarahkan drama itu kerana tertarik dengan skrip garapan Nana Khalil yang mempunyai mesej dan pengajaran buat penonton.

“Setiap pengarah pasti tertekan apabila kena olah semula skrip yang berada dalam tangan memandangkan tempoh masa penggambaran agak terhad.

“Apapun, untuk drama Bila Hati Berbisik ini saya sebenarnya sudah lama melihat kemampuan Nana dalam penulisan skrip dan awal-awal lagi memberitahunya untuk bekerjasama.

“Dengan Nana, kami hanya berbincang untuk perbaiki sedikit jalan cerita dan akhirnya mencapai persetujuan untuk garapan plot cerita yang menarik ,” katanya.

TENAGA produksi drama Bila Hati Berbisik. FOTO Amirudin Sahib
TENAGA produksi drama Bila Hati Berbisik. FOTO Amirudin Sahib

Sebagai pengarah, Wan mengakui perlu melihat terlebih dahulu skrip dihasilkan supaya barisan pelakonnya mampu menghayati watak dibawa mereka.

Kadangkala, pelakon sendiri mengaku tidak faham apa sebenarnya karakter yang mereka perlu buat. Apatah lagi, memahami jalan cerita.

“Tapi untuk skrip Bila Hati Berbisik, apabila saya masukkan butiran dalam kumpulan aplikasi WhatsApp, mereka (pelakon) semuanya gembira dan puji skrip yang dikatakan bagus.

“Inilah kelebihannya drama ini kerana pelakon menyukai skripnya sekali gus memudahkan mereka untuk bekerjasama dalam lakonan,” katanya.

Menurut Wan lagi, persaingan yang hebat pada kalangan stesen penyiar juga membuatkan dia perlu menghasilkan sebuah drama yang berkualiti dan paling penting, disukai penonton.

“Selain skrip, banyak lagi ramuan perlu diambil kira antaranya pelakon yang dipilih. Saya mengadakan perbincangan dengan RTM yang akan menyiarkan drama ini pada Ogos nanti dan kedua-dua pihak turut bersetuju dengan barisan pelakon dipilih.

Dalam pada itu, Wan juga tidak lupa menerapkan nilai murni dan kekeluargaan pada kalangan pekerja produksinya apabila mengajak mereka bersolat secara berjemaah setiap kali masuk waktu sembahyang.

“Kami dah jadi seperti keluarga kerana terbabit dengan penggambaran drama ini selama 75 hari membabitkan lokasi di Kuala Lumpur dan Terengganu.

WAN (tengah) bersama pelakon. FOTO Amirudin Sahib
WAN (tengah) bersama pelakon. FOTO Amirudin Sahib

“Jadi saya cuba memupuk kemesraan pada kalangan semua pihak supaya kerja berpasukan kami kukuh. Hal-hal yang remeh, terus diketepikan.

“Saya juga seorang pengarah yang terbuka dan boleh terima pendapat setiap pelakon sebelum sesuatu babak dihasilkan. Saya serahkan kepada mereka (pelakon terbabit) untuk keselesaan dan mendapat hasil lakonan terbaik,” katanya.

Selain bergelar pengarah, Wan juga pernah tampil menghasilkan lagu berjudul Malissa yang dirakam sekitar 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:30 AM