ACADEMY Awards ke-92 atau Oscars mencetus sejarah. FOTO Reuters
ACADEMY Awards ke-92 atau Oscars mencetus sejarah. FOTO Reuters
Norhayati Nordin


ACADEMY Awards ke-92 atau Oscars mencetus sejarah apabila mengangkat filem dari Korea Selatan, Parasite arahan Bong Joon Hoo sebagai Filem Terbaik.

Ia juga filem Asia pertama memenangi kategori itu di Oscars.

Joon Hoo turut merangkul kategori Pengarah Terbaik menewaskan saingan terdekatnya, Sam Mendes dari filem aksi peperangan, 1917 yang pada awalnya disebut-sebut sebagai pemenang.

Parasite menewaskan filem 1917, The Irishman, Jojo Rabbit, Joker, Little Women, Marriage Story, Once Upon a Time…in Hollywood dan Ford v Ferrari untuk kategori itu.

Selain itu, Parasite turut menang dua lagi kategori iaitu Filem Antarabangsa Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Penerbitnya, Kwak Shin-ae berkata, dia tidak menyangka filem itu berjaya.

“Ia kemenangan terindah buat Parasite. Segala usaha dilakukan berhasil. Kemenangan menjadi kenyataan dan terima kasih untuk anugerah ini,” katanya.  

Sementara itu, seperti diramal, kategori Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi Joaquin Phoenix dari filem Joker manakala Pelakon Wanita Terbaik menjadi milik Renee Zellweger untuk filem Judy.

Pelakon popular, Brad Pitt pula mencipta kemenangan Oscars pertamanya menerusi filem Once Upon a Time in Hollywood sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula dimenangi Laura Dern untuk filem Marriage Story.

1917 memenangi kategori Adunan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Kesan Khas Terbaik.

Untuk kategori Suntingan Terbaik dan Suntingan Bunyi Terbaik dimenangi filem Ford v Ferrari.

Academy Awards 2020 disifatkan sangat penting dalam kalendar industri perfileman Hollywood sejak hampir 100 tahun lalu.

Ia disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

Sebanyak 24 kategori dipertandingkan dan filem Joker meraih pencalonan terbanyak iaitu 11 kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 3:55 PM