EDIKA YUSOF.
EDIKA YUSOF.
Georgie Joseph


ISTERI pelakon Edika Yusof iaitu Norhidayah Yusri, 42, tersentuh dengan doa dan ucapan orang ramai selepas video dia menjalani rawatan fisioterapi yang dimuat naik di Instagram oleh suaminya itu mendapat perhatian ramai.

Norhidayah yang lumpuh separuh badan berkata, dia dan Edika, 52, begitu menghargai setiap komen berkenaan dan bersyukur kerana ramai yang mengambil berat.

“Saya pun terkejut juga apabila diberitahu suami perkongsian itu mendapat reaksi luar biasa. Dia pun sampai tak terbalas komen yang ditinggalkan kerana sibuk dengan penggambaran.

“Apapun, terima kasih buat semua yang mendoakan dan semoga doa anda termakbul untuk saya mendapat kesembuhan. Rawatan fisioterapi itu sebenarnya sangat penting untuk mengekalkan kesihatan tubuh saya walaupun lumpuh separuh badan,” katanya.

Norhidayah yang lumpuh sejak 15 tahun lalu berkata, Edika tidak pernah mengabaikannya dan dialah yang paling tegas dalam hal penjagaan seharian ke atas dirinya.

“Suami sudah seperti doktor saya. Dia akan memastikan saya mengambil semua ubat mengikut masa ditetapkan dan sentiasa menyediakan apa yang patut sebelum dia keluar bekerja.

“Syukur, anak-anak pun sudah besar sekarang dan jika suami tiada di rumah, merekalah yang akan tengok-tengokkan saya. Mereka akan bersilih-ganti mengikut kelapangan masa untuk menjaga saya.

“Suami pun kembali aktif berlakon sejak lebih dua tahun yang lalu. Bagaimanapun, ketika penggambaran, dia tetap menghubungi saya untuk mengingatkan saya makan ubat,” katanya.

Semalam, pelakon popular era 1990-an itu memuat naik video dia membawa isteri membuat rawatan dengan berkata tidak akan putus semangat menjaga kesihatan Norhidayah.

Video itu menyentuh hati ramai orang dan mendapat tanda suka lebih 8,200 dan lebih 500 komen.

Terdahulu, pengorbanan dan kesetiaan Edika menjaga isterinya yang lumpuh sejak 2005 mendapat perhatian serta pujian orang ramai.

Malah, pelakon terbabit menolak untuk berkahwin lain dan mahu terus setia bersama Norhidayah.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2003 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, 20, Fardeen Nasrulhaq, 16, dan Fereena Nurulhaq, 15.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 6:16 PM