EIZLAN berharap semua pihak henti buat spekulasi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
EIZLAN berharap semua pihak henti buat spekulasi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON dan ahli perniagaan, Datuk Seri Eizlan Yusof enggan berkongsi lanjut mengenai gosip mengatakan dia bakal berkahwin bulan depan.

Eizlan, 48, yang juga duda anak tiga itu sebaliknya meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

“Insya-Allah segala persoalan akan terjawab pada sidang media yang akan dibuat pada 2 Disember ini. Sama ada apa yang diperkatakan selama ini betul atau tidak, sama-sama kita tunggu nanti. Harap semua sabar.

“Saya tahu dari awal perkara ini dihebohkan terlalu banyak spekulasi timbul. Sedangkan tidak ada sebarang pengesahan daripada saya,” katanya.

Eizlan berkata, buat masa sekarang dia masih sibuk dengan perniagaan dan beberapa projek drama.

Mengulas mengenai gosip kononnya majlis perkahwinan yang bakal berlangsung mendapat tajaan RM2 juta, Eizlan sekali lagi mengunci mulut.

“Kalau tarikh kahwin pun orang boleh berteka-teki, inikan pula mengenai penajaan. Tak apa, biarlah sidang media nanti menjawab segala persoalan. Saya anggap apa saja yang diberitakan sebelum ini sebagai satu doa,” katanya.

Terdahulu, Eizlan yang berkahwin dengan Vie Shantie Khan pada 2007 sah bercerai talak satu pada Februari 2015 lalu.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, 11, Zareef Yusof, 9, dan Vie Zaalia, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 8:35 PM