Ramlah Zainal


“SAYA merayu semoga suami dapat hadir ke mahkamah dengan segera untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga kami ini.

“Saya sangat berharap suami tidak melengahkan urusan ini kerana perlu kembali bekerja untuk menyara hidup bersama anak,” kata pelakon dan penyanyi, Lufya Omar ketika diminta mengulas perkembangan membabitkan kemelut rumah tangganya dan suami, Dr Che Muhamad Hafiz ketika ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Lutfyah Sheikh Omar, 34, dia juga sudah meninggalkan bidang lakonan selepas berkahwin kerana memberi perhatian pada rumah tangga.

“Suami juga tidak membenarkan saya berlakon selepas berkahwin.

“Kini, duit simpanan yang ada juga tidak banyak untuk saya menyara hidup bersama anak sekarang hingga terpaksa meminta bantuan keluarga.

“Justeru, saya perlu menyelesaikan kes rumah tangga ini dengan segera kerana mahu kembali bekerja,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Pley! Kosmetik di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengenai hubungan dengan keluarga mentua pula, katanya, mereka melayannya dengan baik sepanjang perkahwinan itu.

“Saya mohon maaf pada keluarga mentua kerana terpaksa membuka aib suami untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga kami.

“Terus terang, saya terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah kerana tidak sanggup berdepan dengan tekanan yang teruk dan penderaan mental dalam perkahwinan ini,” katanya.

Terdahulu, Lufya sebagai plaintif hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari untuk sebutan permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya bulan lalu.

Bagaimanapun, Dr Che Muhammad Hafiz yang juga defendan tidak hadir dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.

Dalam prosiding itu, peguam syarie Fadhlina Siddiq yang mewakili Lufyra memaklumkan saman kepada defendan sudah diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.

Shukran kemudian menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak, Laana Haura, dua tahun.

Kisah pergolakan rumah tangga mereka dihidu media pada Oktober tahun lalu hingga diperkatakan ramai.

Berita berkaitan

'Tak perlu ulas, biar mahkamah tentukan'

'4 bulan saya digantung tak bertali' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:03 PM