DAYANG memang selesa setiap kali bersama Hael. FOTO Saddam Yusoff
DAYANG memang selesa setiap kali bersama Hael. FOTO Saddam Yusoff
Rudy Imran Shamsudin


“SELAGI saya belum berkahwin, sesiapa saja punya peluang untuk mendekati,” kata penyanyi popular Dayang Nurfaizah, sewaktu ditanya mengenai status hubungannya dengan teman duet, Hael Husaini.

Sebelum ini Dayang masih berteka-teki mengenai hubungannya dengan penyanyi dan komposer muda itu, walaupun sebelum ini menerusi laman sosial milik pengurus Dayang sendiri sering memaparkan kemesraan yang wujud antara mereka.

Dayang yang ditemui, ditanya sekian kalinya mengenai adakah hubungan mereka sudah ke peringkat membabitkan hati dan perasaan, dia cuba mengelak.

“Seperti yang dikatakan sebelum ini, saya memang selesa setiap kali bersama Hael, tapi ia hanya membabitkan kerjaya nyanyian,” katanya.

Katanya, dia mengakui dirinya dan Hael saling melengkapi, tapi hanya setiap kali mereka naik ke pentas untuk menyanyi bersama.

“Hanya itu saja yang boleh diperkatakan mengenai keakraban antara saya dan Hael ketika ini,” katanya.

Tegas Dayang lagi, walaupun ada kemesraan yang wujud antara mereka, dirakam dan dimuat naik ke laman sosial, ia tidak membawa maksud apa-apa.

“Masalahnya orang yang menyaksikan rakaman video dimuat naik membabitkan perlakuan antara saya dan Hael, membuat andaian sendiri.

“Dalam hal ini satu saja yang ingin saya pinta, iaitu doakan perkara yang baik-baik buat saya mahupun Hael,” katanya.

Terbaru, sebaik diumumkan Pemenang kategori Kolaborasi/Duo/Berkumpulan, Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH32), Hael sanggup bertemu dengan Dayang untuk menyampaikan trofi dimenangi pada lewat pagi.

Dayang ketika itu tidak dapat menghadiri majlis bersama Hael ke ABPBH32 kerana terbabit dengan program realiti Big Stage 2019 sebagai juri bergandingan dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 10:25 PM