PENGALAMAN tunai rukun Islam kelima cukup indah dan paling manis sepanjang hidup PU Riz
PENGALAMAN tunai rukun Islam kelima cukup indah dan paling manis sepanjang hidup PU Riz
Sudirman Mohd Tahir


PENDAKWAH bebas dan pelakon, Pencetus Ummah (PU) Riz yang berangkat menunaikan ibadat haji pada 6 Ogos lalu sudah memasang niat untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu setiap tiga tahun sekali.

Riz, 24, atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail berkata, berpeluang menjadi tetamu Allah pada musim haji pengalaman yang cukup indah dan paling manis sepanjang hidupnya.

Riz yang juga bekas peserta program Pencetus Ummah musim keempat berkata, rezeki ke Tanah Suci sesuatu yang sangat berharga dan pengalaman tidak ternilai.

“Ini pengalaman yang sangat indah dan mencabar, sebab ini kali pertama dan ini perkara wajib perlu saya laksanakan.

“Sebelum berangkat tempoh hari, terharu dan bersyukur sebab visa saya lulus pada saat akhir sedangkan ada 1,000 lagi belum selesai.

“Saya berharap setiap tiga tahun boleh ke sana lagi bagi menunaikan haji. Selain dapat mempersiapkan diri,

saya juga boleh kumpul duit,” katanya.

Riz yang dijangka kembali ke tanah air esok berkata, wukuf di Arafah yang menjadi rukun haji meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.

Riz berkata, masa yang ada itu digunakan sebaik-baiknya untuk menadah tangan memohon doa dan keampunan kepada Allah.

“Semasa doa wukuf di Arafah, Allah saja tahu sebaknya macam mana. Walaupun hujan, waktu itulah kalau boleh duduk lebih bagus sebab ia berkat.

SEMPAT berjumpa Ashraf Muslim yang turut mengerjakan haji.
SEMPAT berjumpa Ashraf Muslim yang turut mengerjakan haji.

“Rasulullah kata, tidak akan tertolak doa orang yang wukuf di Arafah. Kita jumpa dengan Allah, minta Allah ampunkan semua dosa dan doa tidak akan ditolak. Sekali gus dapat menjadi insan lebih baik,” katanya.

Ditanya mengenai persepsi segelintir masyarakat terhadap individu yang menunaikan haji pada usia muda terutama dalam kalangan selebriti, Riz berkata, dia tidak boleh menafikan perkara itu.

“Persepsi orang memang tak dapat lari. Tapi, diri sendiri kena lebih berhati-hati. Insya-Allah, rezeki akan sentiasa ada yang sesuai dengan saya.

“Dalam lakonan misalnya, watak yang sering saya bawakan selama ini akan saya teruskan,” katanya.

Diusik adakah doa mengenai jodoh yang kerap dipanjatkan di sana, Riz mengakuinya.

Namun, Riz menyasarkan untuk memikirkan perkara itu selepas tamat pengajian dalam bidang undang-undang di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Soal jodoh, insya-Allah selepas habis belajar baru saya nak fikir secara serius. Ada lebih kurang satu setengah tahun lagi. Doakan saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:00 AM