AIDA nafi wang sebagai punca bercerai dengan Ariff.
AIDA nafi wang sebagai punca bercerai dengan Ariff.
Najiy Jefri


DATUK A Aida menolak dakwaan wang sebagai punca dia bercerai dengan pelakon Ariff Aziz pada 25 April lalu selepas hanya selepas sembilan bulan bernikah. Aida berkata, sebagai ahli perniagaan dia sudah mempunyai kewangan kukuh, tetapi apa yang diidamkan hanya cinta dan kasih sayang dalam perhubungan.

“Saya sudah mempunyai segala-galanya. Apa yang saya perlukan adalah cinta dan kasih sayang. Saya tidak kisah soal harta atau kerja apa, cuma hubungan kami sudah tidak mampu lagi untuk dipulihkan dan perpisahan adalah jalan terbaik. Saya juga sudah tidak tinggal sebumbung dengan Ariff sejak 21 Mac lalu,” katanya.

Menurut Aida, tempoh perkenalan yang singkat juga sebagai sebab dia gagal meneruskan perkahwinan terbabit dan sudah tiada keperluan untuk dia dan Ariff kembali bersama.

“Saya tidak nafikan berkahwin dalam keadaan yang agak tergesa-gesa membuatkan tidak sempat untuk mengenali dia secara mendalam.

“Saya juga tidak lihat jalan untuk kembali bersama dengannya lagi. Kami pun sudah lama tidak berhubung. Saya bahagia dengan keputusan untuk bercerai ini. Jadi tidak lihat jalan untuk kembali bersama,” katanya.

Menurut Aida, perceraian yang berlaku juga membuatkan dia tidak mampu mengawal mulut warganet daripada terus mengeluarkan kata-kata hinaan ke atas dirinya dan sentiasa reda dengan keputusan yang dibuat.

“Saya anggap jodoh tak panjang. Lagipun, soal ajal dan jodoh adalah rahsia Allah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui dan saya reda dengan ketentuan ini. Siapa yang mahu bercerai-berai, tetapi tertulis jodoh saya bersama Ariff sampai di situ saja. Fokus saya selepas ini hanya untuk perniagaan,” katanya.

Aida dan Ariff berkahwin pada 21 Julai tahun lalu di sebuah hotel di Subang Jaya selepas tiga bulan menjalin hubungan cinta.

Sementara itu, dua anak Aida, Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha sentiasa menyokong setiap keputusan yang dibuat ibunya dan tumpang bahagia dengan pilihannya itu.

“Ibu tidak akan membuat keputusan dalam keadaan terburu-buru. Dia akan berbincang dengan anak-anak dulu. Apa saja keputusannya kami ikut asalkan dia gembira. Kami hanya nak tengok dia bahagia dan tenang dengan kehidupannya,” kata Wan Az Aleesa.

Dalam pada itu, Wan Azevanatassha berkata, mereka tidak akan menghalang jika ibunya mahu bernikah lagi.

“Jodoh dan ajal di tangan Tuhan. Kami tidak kisah jika ibu mahu berkahwin lagi. Lagipun, kami makin membesar pasti nak tengok ibu ada peneman juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 4:30 AM