KAKA dan Adam elakkan daripada tertekan memikirkan soal zuriat kerana tahu perancangan Allah adalah sentiasa yang terbaik. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KAKA dan Adam elakkan daripada tertekan memikirkan soal zuriat kerana tahu perancangan Allah adalah sentiasa yang terbaik. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Georgie Joseph


PENYANYI Kaka Azraff, 30, mengakui sedang mencuba pelbagai ikhtiar untuk mendapatkan zuriat selepas hampir lima bulan mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Adam Azriff, 25.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff berkata, dia dan suami memang sudah bersedia untuk menimang cahaya mata namun percaya setiap orang rezekinya berbeza.

“Saya dan suami sedang berusaha untuk hal itu. Kalaulah dapat cahaya mata ibarat buat kerja atas kertas kan?

“Bagaimanapun, doakanlah sebab saya sendiri memang sangat sukakan bayi. Suami pun cakap sudah sedia dan pernah kata pada umur 25, dia nakkan anak.

“Apapun, semua ini ketentuan-Nya. Kami elakkan daripada tertekan memikirkannya kerana tahu perancangan Allah adalah sentiasa yang terbaik,” katanya.

Berkongsi lanjut, Kaka setakat ini mahu menggunakan ikhtiar semula jadi tanpa mengambil sebarang pemakanan tertentu mahupun cuba petua lama.

“Saya tidak menggunakan petua lama namun berusaha cuba ikhtiar yang sepupu cadangkan. Ikhtiar ini lebih kepada strategi hubungan intimasi tanpa ada makan apa-apa.

“Yang pasti, sudah tiba rezekinya nanti, saya tidak akan berahsia dan mahu kongsi sama kegembiraan itu,” katanya.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember tahun lalu. Pasangan berkenaan yang bercinta tiga bulan tidak menunggu lama untuk melangkah ke fasa perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 3:14 PM