DYNAS dijangka bersalin anak lelaki pada 18 Mei ini. FOTO Instagram Dynas
DYNAS dijangka bersalin anak lelaki pada 18 Mei ini. FOTO Instagram Dynas
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Dynas Mokhtar yang kini hamil lapan bulan dijangka bersalin anak lelaki pada 18 Mei ini.

Dynas, 36, atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkongsi perkara itu pada majlis ‘baby shower’ yang diadakan semalam.

“Saya dan suami dapat tahu jantina anak pada usia kandungan enam bulan. Pada mulanya tidak pasti juga, tapi selepas membuat ujian imbasan sekali lagi baru kami yakin.

“Saya memang merancang untuk berkongsi perkara ini semalam. Sebelumnya kalau rakan tanya pun, saya tidak cakap lagi. Biarlah mereka berteka-teki dulu.

“Semalam, apabila mereka hadir pada majlis ‘baby shower’, baru semua tahu. Insya-Allah, doakan semuanya dipermudahkan dan bayi selamat dilahirkan,” katanya kepada Harian Metro.

Dynas juga berkongsi bakal mewujudkan akaun Instagram buat cahaya mata ketiganya itu apabila dilahirkan kelak.

“Dalam perancangan memang akan ada IG untuk anak kami ini. Tunggu dia lahir dulu. Cuma, buat sementara waktu, saya menggunakan #lilP.

“Saya mahu berkongsi momen dan gambar bayi kami di situ. Bukan itu saja, saya juga menjadikan akaun itu sebagai medium perkongsian tip keibubapaan buat peminat.

“Bukan saja dapat tengok perkembangan bayi, tapi juga menimba ilmu pengetahuan terutama buat ibu bapa baru,” katanya.

Perkembangan lain, Dynas yang juga pelakon drama bersiri yang ditayangkan di iflix, KL Gangster Underworld aktif mengusahakan perniagaan baju ibu mengandung.

“Sejak mengandung, saya aktif semula menjual baju ibu mengandung dan penyusuan ibu. Daripada tidak buat apa, baik saya jual baju. Lagi pula, permintaan sangat tinggi.

“Selain dijual secara dalam talian di IG @dnabydynas insya-Allah, semua koleksi ini boleh didapati di kedai Dynas Mokhtar Boutique cafe yang akan dibuka di Seksyen 13, Shah Alam tidak lama lagi,” katanya.

Bayi yang bakal dilahirkan adalah hasil perkahwinan dengan Shazrik Din. Mereka mendirikan rumah tangga pada April lalu.

Sebelumnya, Dynas mempunyai dua anak iaitu Khyra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7, menerusi perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:30 PM