ANTARA babak romantis Fasha dan Aidil dalam filem pendek Kisah Kami. FOTO Instagram Fasha Sandha
ANTARA babak romantis Fasha dan Aidil dalam filem pendek Kisah Kami. FOTO Instagram Fasha Sandha
Najiy Jefri


PASANGAN selebriti Fasha Sandha dan Aidil Aziz saling meluahkan kata cinta mereka menerusi sebuah filem pendek berjudul Kisah Kami yang dikongsikan di laman Instagram.

Fasha menerusi video terbabit menjelaskan, Aidil hadir ketika dia tidak lagi percaya cinta dalam hidupnya.

"Di saat aku jatuh, di saat aku tidak percayakan cinta, kau hadir dalam hidupku.

"Di saat aku sendiri, di saat aku kesesatan kau hadir menemaniku. Aku mencintai kesederhanaanmu, mengajarku erti bersyukur.

"Terima kasih kerana mencintaiku dan mengajarku mengenai sabar. Terima kasih Allah di atas cinta ini," luahnya.

Sementara itu, Aidil mengakui dia bukan lelaki yang sempurna namun berjanji akan selalu menjaga Fasha.

"Yakinlah dirimu adalah yang terindah yang pernah Allah kirimkan untukku. Dan yakinlah bahawa kau adalah pelengkap hidupku.

"Di saat aku hilang arah, di saat aku kecewa kau hadir penghiburku. Mencintai kesederhanaanmu membuatkan aku yakin bahawa kau adalah permaisuriku.

"Terima kasih untukmu yang mengajarku bahawa cinta itu adalah sederhana," luahnya.

Rata-rata peminat meninggalkan komen positif menerusi video yang dimuat naik IG TV pelakon itu dan mendoakan pasangan terbabit bahagia hingga ke akhir hayat.

Setakat ini, filem pendek itu sudah ditonton lebih 230,000 orang dan mendapat 587 komen warganet sejak dimuat naik semalam.

Sementara itu, Fasha bakal mengadakan majlis berinai di ibu kota malam ini. Bagaimanapun tarikh pernikahan pasangan itu masih dirahsiakan.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 18 November tahun lalu.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal, 5, dan Putri Raysha Jemyma, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 3:37 PM