AHMAD Idham berpengalaman lebih 25 tahun sebagai pelakon, pengarah dan penerbit. FOTO - NSTP.
AHMAD Idham berpengalaman lebih 25 tahun sebagai pelakon, pengarah dan penerbit. FOTO - NSTP.
Amirul Haswendy Ashari


KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Isnin lalu.

Menterinya, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan ini adalah keputusan Lembaga berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan pemangku, Shakib Ahmad Shakir yang menjalankan tugas sejak empat bulan lalu.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Shakib untuk perkhidmatan beliau dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan berkenaan.

“Kita berharap Ketua Pegawai Eksekutif yang baru ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha Finas bagi membangunkan industri ini.

"Saya juga berharap agar Ahli-ahli Lembaga Finas akan memberi kerjasama penuh kepada Ahmad Idham dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan," katanya.

Ahmad Idham yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam industri kreatif sebagai pelakon, pengarah dan penerbit selama lebih 25 tahun.

Beliau juga pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 11:09 AM