Sudirman Mohd Tahir


SEBANYAK 200 tiket menyaksikan konsert penyanyi Azharina iaitu Konsert Azharina Queen of Soul sudah ditempah sejak beberapa hari lalu meski pelancarannya baru diadakan petang ini, hari ini.

Konsert akan berlangsung pada 29 Jun ini di Royale Theatre Shah Alam mampu memuatkan 900 penonton.

Azharina, 34, atau nama sebenarnya Azharina Azhar berkata, dia bersyukur dengan sambutan awal itu dan yakin tiket akan habis dijual.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan perkara ini oleh pihak penganjur. Memang tidak menjangka sama sekali kerana tiket belum dijual secara rasmi, tetapi sudah ada yang buat tempahan.

“Kami ada tempoh lima bulan lagi sebelum berlangsungnya konsert. Insya Allah, saya yakin tiket boleh habis. Lagi pula, ini konsert sulung saya berskala besar. Dari dulu lagi peminat bertanyakan mengenainya,” katanya kepada Harian Metro.

Azharina yang ditemui pada acara sidang media Concert Azharina Queen of Soul di Shah Alam berkata, konsert itu bersempena sambutan ulang tahun ke-18 pembabitannya sebagai anak seni.

Malah, Azharina berkata perancangan mengadakan konsert sudah dibuat sejak Julai tahun lalu.

“Nak buat konsert bukan mudah. Banyak perkara perlu diambil kira. Apatah lagi saya jenis yang teliti. Dalam masa sama, saya berfikir banyak kali adakah betul keputusan untuk mengadakan konsert ini.

“Bukan apa, dalam keadaan ekonomi sekarang ada tak orang nak beli tiket. Namun, selepas berbincang dengan pelbagai pihak, baru dapat tarikh yang sesuai.

“Apa yang pasti, saya cuba berikan yang terbaik untuk konsert ini. Saya tidak mahu mengecewakan peminat dan penonton yang hadir,” katanya.

Pengarah Urusan penganjur konsert, Syahrizal Ismail berkata, buat masa sekarang konsert itu hanya berlangsung satu hari.

“Kita tak ada perancangan nak tambah hari konsert. Sebab, kami nak jadikan konsert ini sesuatu yang eksklusif.

“Dalam masa sama, kami merancang nak bawa konsert ini ke beberapa lokasi lain dalam negara. Insya Allah, tahun ini akan ada satu lagi konsert sama di lokasi lain,” katanya.

Nyanyian Azharina bakal diiringi pemuzik orkestra dijangka menyanyikan 14 lagu solo dan satu lagu duet bersama penyanyi jemputan dari luar negara.

Konsert mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.

Tiket mula dijual malam ini di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 6:22 PM
Azharina (dua dari kiri) bersama Syahrizal (kanan) pada sidang media Azharina Queen Of Soul. FOTO NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Azharina (dua dari kiri) bersama Syahrizal (kanan) pada sidang media Azharina Queen Of Soul. FOTO NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN