RAFIENA Ezanee Ramli. FOTO arkib NSTP
RAFIENA Ezanee Ramli. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri


PENERBIT Datuk Rafiena Ezanee Ramli, bakal menjalinkan kerjasama dengan stesen televisyen di Singapura bagi menerbitkan dan membekalkan drama.

Rafiena berkata, pihak stesen berkenaan menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama selepas berpuas hati dengan beberapa drama terbitan syarikatnya yang telah disiarkan.

“Saya sendiri amat terharu dengan perkembangan ini dan apa lagi yang boleh saya katakan selain bersyukur kepada Tuhan.

“Saya dimaklumkan mereka gembira kerana drama terbitan Darkwave Pictures mendapat rating yang tinggi dan sambutan hangat daripaada penonton,” katanya.

Menurut Rafiena yang juga pelakon, satu perbincangan lanjut akan diadakan tidak lama lagi untuk ke peringkat seterusnya.

Katanya, pihak stesen berkenaan juga menyatakan hasrat untuk membeli drama Syurgaku Tak Sempurma 2 yang sedang dalam penggambaran.

Sementara itu, Rafiena turut meraikan berita gembira itu bersama lebih 40 anak angkatnya di Melaka baru-baru ini.

“Sebenarnya saya memang sudah berniat untuk makan-makan bersama mereka sebelum ini. Jadi bila dapat berita gembira ini, saya terus mencari masa ke sana.

“Lebih bermakna, saya juga bakal mengerjakan umrah Isnin ini, jadi saya minta mereka doakan sekali agar semuanya berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata, Darkwave memang sentiasa menjalin hubungan dengan anak-anak angkat di beberapa sekolah dan pusat Tahfiz termasuk di Shah Alam dan Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 11:46 PM