NAJA. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
NAJA. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin

Kalau sebelum ini di Singapura dan Indonesia dia dikenali sebagai Naja Bollywood, kini tiba masanya untuk dia ketengahkan nama sendiri.

Itulah yang dilakukan bakat baru, Nazar Daud, 25, yang muncul dengan single solo pertama Rela Demi Buatmu.

Nazar atau Naja berkata, pembabitannya dalam karier nyanyian adalah atas dasar minat selain kebolehan menyanyikan lagu Bollywood dengan baik.

“Diakui vokal saya menyerlah dengan lagu Bollywood. Malah menerusi lagu Bollywood juga saya dapat pikat hati pendengar untuk menerima kehadiran saya.

“Cuma, saya masih kurang dikenali di negara sendiri,” katanya.

Bernaung bawah MAP Music, Naja teruja tampil dengan single Rela Demi Buatmu ciptaan bersama komposer Sam Daud dan Raja Patih, manakala lirik tulisannya sendiri.

“Terus terang, saya menaruh harapan tinggi terhadap single ini yang mengisahkan pengorbanan pasangan yang bercinta.

“Saya tertarik dengan melodi single ini yang dihasilkan Sam dan Raja Patih. Malah saya gigih menyiapkan liriknya sebaik mungkin kerana berharap ia terpilih menjadi lagu tema drama,” katanya.

Dalam pada itu, Naja berkata, dia juga berharap single nyanyiannya itu mesra radio dan berjaya menambat hati pendengar.

“Moga Rela Demi Buatmu disiarkan stesen radio popular tanah air.

“Andai tersenarai dalam carta lagu popular di radio, ia bonus buat saya dan pencipta lagu ini,” katanya.

Mengakui dirinya juga tertanya-tanya apakah kriteria lagu yang menjadi pilihan pendengar masa kini, Naja akur belum temui jawapannya.

“Apa yang saya fikirkan kini adalah single Rela Demi Buatmu sudah dirakam dengan baik dan cukup jiwanya.

“Semoga single ini dapat menambat hati pendengar muzik tempatan yang saya yakin cukup matang dalam menilai,” katanya.

Sehubungan itu, lirik video rasmi single Rela Demi Buatmu yang dimuat naik ke YouTube kini mencatat lebih 34,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:04 AM