DAYANA Roza. FOTO Rohanis Shukri
DAYANA Roza. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


PELAKON Dayana Roza berpegang tegas dengan pendiriannya untuk tidak memberi sebarang komen berhubung soal peribadi terutama membabitkan hubungan cintanya.

Dayana, 27, berkata, pengalaman lalu menjadikannya lebih matang dalam menjawab soalan media terutamanya berkenaan hal peribadi.

"Saya tidak mahu lagi memberi komen mengenai perihal peribadi sendiri kerana enggan sebarang kenyataan yang dibuat akan dimanipulasi. Ini kerana, saya pernah melaluinya.

"Jadi, kini segala hal berkaitan peribadi seperti siapa kekasih saya, aktiviti harian dan kerjaya seni, semua itu hanya dikongsikan di Instagram (IG) saya.

"Oleh itu, siapa yang menjadi pengikut di IG saya semestinya mereka tahu apa saja perkembangan terkini melalui foto-foto yang dimuat naik.

"Untuk keterangan lanjut pula, mereka boleh melihat dan membaca setiap kapsyen foto yang ditulis dan bagi saya, itu sudah mencukupi untuk penjelasan," ujarnya.

Menurut Dayana, sembilan tahun menceburi karier seni cukup menjadikan dia matang untuk mengenal erti kehidupan sebagai anak seni.

Pemilik nama sebenar Nur Dayana Kamsun Baharin ini berkata, dia sebenarnya lebih tenang berdiam diri tanpa publisiti kerana sedar tidak ada cerita sensasi berkaitan diri untuk dikongsikan.

"Terus-terang, pengalaman sebenarnya yang banyak mengajar saya untuk tenang dan positif dalam menangani hal membabitkan peribadi kepada media.

"Kalau dulu, saya akui tidak fikir panjang untuk berkongsi kisah cinta, namun sekarang saya selesa untuk tidak memberi sebarang komen walaupun sedikit mengenainya.

"Lagi pun, cukuplah dengan apa yang pernah saya lalui dulu. Ia banyak mengajar saya untuk berhati-hati dalam berbicara mengenai perihal peribadi," katanya.

Nama dan kerjaya lakonan Dayana mula melonjak pada 2015 selepas dia membintangi drama Asam Pedas Untuk Dia di TV3 berganding dengan pelakon Shukri Yahaya.

Selain itu, pada 2014 Dayana juga pernah berganding dengan Datuk Awie sebagai pelakon utama filem Zombi Kilang Biskut arahan Mamat Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 11:27 AM