JULIA Farhana Marin (kanan) dan Erwin Dawson. FOTO arkib NSTP
JULIA Farhana Marin (kanan) dan Erwin Dawson. FOTO arkib NSTP
Ramlah Zainal


PELAKON meningkat naik, Julia Farhana Marin, 24, mengakui sudah bersedia untuk mengakhiri zaman solonya dengan pelakon kelahiran Singapura, Erwin Dawson, 29, awal tahun depan.

Menurut pelakon utama drama bersiri Salon arahan Kabir Bhatia itu, Erwin adalah calon yang terbaik selepas lebih setahun mereka mengenali hati budi masing-masing.

"Sebelum ini, saya pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu bercinta dengan golongan artis tetapi nampaknya jodoh saya akhirnya dalam bidang lakonan juga.

"Saya terima Erwin kerana personalitinya yang banyak bersabar dengan diri ini dan dia juga memiliki ciri-ciri untuk menjadi suami dan ketua keluarga yang baik," katanya.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali ini juga memberitahu hubungannya dengan Erwin juga direstui keluarga kedua belah pihak.

"Erwin juga sudah bertemu ibu dan memberitahu hasratnya untuk berkahwin dengan saya, baru-baru ini," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai tarikh untuk majlis pernikahan pula, kata Julia, ia masih dalam perbincangan lagi.

"Maklumlah, kami berdua sama-sama ada komitmen dalam karier seni yang perlu diselesaikan dulu.

"Selepas selesai penggambaran drama bersiri Salon untuk siaran Ntv7 dan saluran Viu, saya bakal terbabit dengan tiga projek drama lagi.

"Kami juga tidak mahu tergesa-gesa untuk berkahwin sekarang kerana Erwin juga merancang untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan ibadah umrah terlebih dulu," katanya.

Ditanya sama ada dia tidak bimbang nama merudum, kata Julia, peminat sekarang sudah bijak menilai dan masih menyokong pelakon yang sudah berkahwin.

"Saya tidak melihat status isteri akan menjadi titik noktah dalam karier lakonan diceburi.

"Saya juga bertuah kerana Erwin cukup memahami minat dan tidak menghalang untuk saya meneruskan karier seni selepas kami berkahwin nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:23 PM