Sudirman Mohd Tahir


“SAYA sudah minta maaf dengan wanita terbabit. Namun dia tidak memberikan sebarang jawapan,” kata pelakon Faezah Elai mengenai dakwaan dirinya mempersenda bentuk tubuh penerima trofi yang mewakili pelakon Fazura pada Anugerah Telenovela 2018, minggu lalu.

Faezah dihubungi berkata, dia sudah membuat perkara sepatutnya dan terpulang sejauh mana penerimaan wanita terbabit dan individu tertentu.

Malah, Faezah turut meluahkan rasa kesal apabila perkara itu diperbesarkan pihak tidak berada pada majlis itu.

“Saya sudah mesej dia secara peribadi di Instagram. Saya minta maaf dengan ikhlas. Sama ada dia maafkan saya atau tidak, terpulang. Apa yang penting, saya sudah buat bahagian saya.

“Sekarang ini, kalau netizen mahu terus mengata dan menghina saya pula, silakan tanggung dosa.

“Perkara ini bermula selepas ditimbulkan individu tertentu. Sedangkan, kalau sesiapa berada di tempat kejadian tahu perkara sebenar. Disebabkan pemahaman salah membuatkan ia jadi perdebatan dalam kalangan netizen,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Faezah yang menyampaikan trofi pada malam anugerah itu didakwa mengeluarkan perkataan berbaur penghinaan pada wakil Fazura dengan gambaran fizikal pelakon itu berbadan gempal selepas melahirkan lima anak.

“Sebelum ini Fazura selalu melaungkan ingin sesuatu yang positif saja dan sayangi diri. Tetapi, tindakannya memuat naik perkara itu di Instagram mengundang kepada perkara negatif.

“Netizen melemparkan kata-kata negatif dan saling bergaduh. Adakah itu sesuatu yang positif? Orang kata saya sengaja berbuat sedemikian, kerana mahu publisiti. Saya sudah tidak berlakon, jadi tak perlu semua itu.

“Saya menjadi penyampai pun disebabkan penganjur yang minta dan bukannya saya menawarkan diri,” katanya.

Faezah turut mempertahankan tindakannya menutup ruangan komen pada video yang dimuat naik kerana tidak mahu peminat saling bergaduh.

Berita berkaitan:Marah betul Fazura...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 4:02 PM