Lakonan Zahirah dan Saharul dalam drama Jangan Benci Cintaku. FOTO IG Zahirah/MAHZIR MAT ISA
Lakonan Zahirah dan Saharul dalam drama Jangan Benci Cintaku. FOTO IG Zahirah/MAHZIR MAT ISA
Ramlah Zainal


PELAKON popular, Zahirah MacWilson menolak untuk melakonkan watak antagonis dalam drama kerana takut dibenci penonton.

Menurut Zahirah, 23, atas sebab itu juga dia tidak berani membawa watak Husna dilakonkan Niena Baharun dalam drama bersiri Jangan Benci Cintaku yang tular sejak bersiaran di Slot Akasia TV3 bermula 29 Jun lalu.

“Terus terang, saya simpati dengan Niena kerana dia dibenci penonton kerana watak Husna dilakonkan.

“Saya ada menghubungi Niena dan memberi sokongan padanya kerana dirinya yang hamil ketika ini.

“Mujur Niena beritahu dia okay saja kerana sedar watak Husna sekadar lakonan semata-mata,” katanya.

Zahirah berkata pada majlis perlantikannya sebagai duta produk Meeracle di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas watak Fika lakonannya dalam drama bersiri 28 episod itu pula, kata Zahirah, dia menerima maklum balas yang sangat positif daripada penonton.

“Ramai peminat yang menghantar pesanan ‘Direct Message’ (DM) bertanya mengenai hubungan dalam rumah tangga di mana suami ada wanita lain kerana impak watak Fika dalam drama Jangan Benci Cintaku itu.

“Sudah pastinya watak Fika berbeza dari diri ini tapi saya tetap gembira membalas setiap komen diberikan peminat di laman sosial itu,” katanya.

Ditanya gandingannya dengan Saharul Ridzwan yang melakonkan watak Shah pula, kata Zahirah, dia tiada masalah mendapatkan keserasian dengannya.

“Kami tiada masalah menjiwai watak suami isteri dengan baik walaupun Saharul memang menolak babak bersentuhan.

“Sebagai pelakon saya faham batas ditetapkan Saharul dalam drama itu kerana kami profesional ketika bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 8:53 PM