QUDOOS tampil dengan lagu hip-hop positif.
QUDOOS tampil dengan lagu hip-hop positif.
Georgie Joseph

Mahu terus relevan dalam industri muzik, penyanyi Zahid terus bereksperimentasi dan kali ini dia bergabung dengan Maulana Mohamed dalam kumpulan duo bergelar Qudoos.

Zahid, 37, yang juga juara Akademi Fantasia musim kedua dan Maulana, 30, menyahut saranan beberapa rakan industri yang mencadangkan mereka menghasilkan single bersama.

Mempertaruhkan genre hip hop dan lagu berunsur nasihat, Zahid berkata, idea itu dipersetujui kerana ia sesuatu yang berbeza buat mereka.

“Idea itu sebenarnya datang daripada rakan yang belajar bersama kami di UUM (Universiti Utara Malaysia). Mereka mencadangkan kami hasilkan satu single dan lihat bagaimana penerimaannya.

“Ia sesuatu yang baru apabila saya menyanyi rap sepenuhnya, manakala Maulana pula ambil bahagian vokal,” katanya.

Tampil dengan single sulung berjudul Satu, mereka memilih lagu bermesej positif dan nasihat sebagai identiti Qudoos.

Menurut Zahid, mereka memang berhasrat untuk menjadikan Qudoos sebagai projek jangka masa panjang walaupun masing-masing memiliki kerjaya solo sendiri.

“Lagu berunsur nasihat ini memang berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Lagipun sekarang lagu sebegitu memang relevan dan penerimaannya bagus,” katanya.

Demikian juga buat Maulana yang melihat sekarang masa terbaik untuknya kembali mewarnai industri muzik. Selama ini ramai tertanya-tanya ke mana dia menghilang.

“Sudah lama saya tidak keluarkan lagu hingga ramai yang ingat saya sudah berhenti menyanyi. Sebenarnya selama ini saya banyak menghasilkan lagu sendiri, cuma sama ada berani atau tidak saja untuk keluarkannya.

“Apapun, melihat kepada trend lagu terkini, sekarang masa paling tepat untuk saya tampil dengan lagu Satu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu berkenaan, mereka berkata, proses pembikinannya sangat mudah dan tidak ambil masa yang lama.

“Ia cuma mengambil masa selama tiga jam untuk kami siapkan. Bagaimanapun, dalam proses itu ada juga bahagian yang kami ubah untuk jadikan ia lebih baik.

“Apapun, memang kami sangat puas hati dan menaruh keyakinan terhadap lagu itu. Reaksi peminat yang sudah mendengarnya di YouTube pun sangat positif.

“Mudah-mudahan ia akan dimainkan di stesen radio, sekali gus menangkap perhatian pendengar,” katanya.

Bercerita mengenai hala tuju Qudoos, Zahid berkata, mereka sudah ada beberapa rancangan.

“Selepas Aidilfitri nanti, kami akan berhabisan untuk mempromosikan single pertama itu terlebih dulu. Pada masa sama, kami turut menyiapkan single kedua. Ia sangat penting untuk melakukan persediaan begitu memandangkan keadaan pasaran sekarang tidak menentu. Sekurang-kurangnya kami ada ‘backup’ sekiranya single Satu tidak menjadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 3:44 AM