Saleem bersama isterinya, Julia. FOTO fail HM
Saleem bersama isterinya, Julia. FOTO fail HM
Ridzuan Abdul Rahman


“JUALAN tiket sangat kencang. Untuk Saleem, saya paling senang buat kerja kerana namanya yang besar. Secara rasminya tiket sudah habis dijual hari ini dan sekiranya ada permintaan daripada peminat untuk menonton, kami akan minta pihak pengurusan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) menyediakan kerusi tambahan”.

Demikian kata Julia Bachok, isteri penyanyi Saleem berkenaan penjualan tiket Showcase Saleem Raja Balada - Syokk Ooo yang akan berlangsung di Auditorium Matic, Kuala Lumpur, malam esok.

Saleem, 56, terpanggil mengadakan showcase solonya buat julung kali selepas terlantar sakit di hospital hingga mengalami masalah kewangan pada awal tahun ini.

Dia berhasrat membantu rakan-rakan di dalam industri hiburan yang berjuang dengan kesakitan serta rakan-rakan artis yang tidak mempunyai pekerjaan.

Julia, 54, berkata, dia sendiri sukar mempercayai jualan tiket habis dijual dalam tempoh kerja yang dilakukan hanya dua minggu berbanding tempoh masa yang sepatutnya perlu diambil.

“Memang senang sangat kerana saya hanya buat kerja dua minggu. Kebiasaannya untuk sesebuah konsert, kerja promosi perlu dibuat tiga bulan lebih awal kerana bukan mudah untuk menjual tiket.

“Harga tiket untuk menonton persembahan Abang Saleem bukan murah iaitu RM150 dan kami gembira dia berjaya menarik 400 peminat untuk menyaksikan persembahannya.

“Kami awalnya merancang untuk buat persembahan selama dua malam tetapi perancangan terpaksa ditukar kerana pelbagai faktor. Namun sekiranya respon yang diperlihatkan agak bagus, kami mungkin berunding dengan penganjur memanjangkan tempoh persembahan,” katanya kepada Harian Metro.

Julia membuka rahsia, tiket Showcase Saleem Raja Balada - Syokk Ooo habis dijual kerana pihaknya berurusan terus dengan pihak-pihak kenamaan yang menyokong suaminya.

“Setiap orang kenamaan ini membeli tidak kurang 50 tiket sebagai tanda sokongan. Lagipun tujuan persembahan ini pun untuk kerja-kerja amal dan secara tidak langsung mereka juga prihatin untuk membantu.

“Untuk mengagihkan sumbangan pula, kami bekerjasama dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) kerana hanya mereka yang mempunyai data senarai artis-artis yang bernasib malang dan sakit,” katanya.

Saleem akan menyampaikan sekitar 11 rangkaian lagu popularnya termasuk lagu terbaru, Janggawari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 9:10 PM