SESI latihan yang dilakukan.
SESI latihan yang dilakukan.
IZMAN (belakang dua dari kiri) bersama pelakon dari MTS dan pelajar SK Bandar Tasik Puteri, Rawang.
IZMAN (belakang dua dari kiri) bersama pelakon dari MTS dan pelajar SK Bandar Tasik Puteri, Rawang.
HM Digital

Di bawah bimbingan Cikgu Izman Saroni atau lebih dikenali sebagai Sir dalam kalangan murid dan penggiat teater tanah air, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Puteri, Rawang semakin aktif mengadakan pementasan sendiri.

Terbaru, SK Bandar Tasik Puteri dengan kerjasama Majlis Teater Selangor (MTS) di bawah pimpinan Nazri Ahmad akan mementaskan teater bertajuk Jalan Tepi Kubur arahan Izman.

Pementasan ini berlangsung pada 2 hingga 4 Mac depan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur.

Izman berkata, penonton akan dihiburkan dengan persembahan teater yang mempunyai pelbagai elemen seram, lucu dan sedih yang dilakonkan muridnya dan diserikan dengan kehadiran pelakon undangan khas dari MTS.

“Selaku pengarah dan penulis skrip, saya berhajat membawa Kelab Teater sekolah ini menjadi pelopor dalam pementasan teater yang berkualiti dalam kalangan murid sekolah rendah tanah air.

“Kelab teater ini akan terus berkarya dalam memeriahkan lagi seni teater di samping menjadikannya sebagai salah satu medium akademik kepada murid,” katanya.

Menurutnya, latihan hanya dijalankan pada hujung minggu dan cuti sekolah, namun tetap mendapat sambutan pelajar serta sokongan ibu bapa yang menyumbangkan makanan setiap kali sesi latihan berlangsung.

“Ini sahaja masa yang ada kerana jadual pembelajaran sangat padat. Kami juga bertuah kerana turut mendapat sokongan MTS yang sebelum ini beberapa kali mementaskan teater dan bangsawan antaranya Bangsawan Awang Kudis Buta dan Teater Selawat Ibu Selepas Isyak.

“Saya amat teliti dalam menghasilkan karya bermutu termasuk juga dari segi pemilihan pelakon dan kru produksi. Seorang pelakon kanak-kanak ini iaitu Dhiyaurrahman Ahmad Bakri, 12, adalah pemenang Pelakon Terbaik 2017 dalam Pertandingan Teater Pendek Kanak-kanak Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun lalu,” katanya.

Dhiyaurrahman yang melakonkan watak Hasan iaitu ketua kampung dalam teater ini mula terbabit dengan teater sejak tahun lalu dan bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Nazri selaku Yang Dipertua MTS berjanji akan memberikan bantuan sewajarnya sebagai tanda sokongan terhadap anak-anak kecil ini.

“Kami bangga dengan mereka kerana diberi pendedahan awal untuk menyemai rasa cinta dan minat terhadap teater.

“Mereka ini pelapis perjuangan kami pada masa hadapan. Kami akan menyokong dari segi teknikal dan promosi sepanjang teater ini berlangsung,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan Jalan Tepi Kubur berharga RM10 boleh didapati di Auditorium JKKN, Jalan Tun H S Lee pada hari pementasan berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 2:59 AM