ZED bersama ahli Seniman.
ZED bersama ahli Seniman.
Nor Akmar Samudin


Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sangat menitikberatkan kebajikan ahlinya termasuk anggota keluarga mereka.

Sehubungan itu, Seniman mengadakan program Kembali Ke Sekolah Anak-Anak Seniman bersama Komuniti 2017 dengan mengagihkan barang keperluan sekolah seperti kasut, beg dan baju sekolah kepada anak ahli yang memerlukan.

Menurut Presiden Seniman Zed Zaidi, sumbangan barangan sekolah itu bukan saja diberikan kepada anak ahli tetapi juga kepada keluarga asnaf dan keluarga lain yang kurang bernasib baik.

Program Kembali Ke Sekolah itu diadakan baru-baru ini di Dataran FINAS, jam 12 tengah hari dan 100 pelajar bawah 12 tahun dipilih untuk menerima sumbangan barangan keperluan sekolah itu.

“Bukan semua artis hidup senang apatah lagi pada zaman sekarang, setiap keluarga yang memiliki ramai anak masih bersekolah memerlukan peruntukan besar untuk membeli buku dan barang keperluan lain.

“Kami mahu anak itu berjaya dan menjadi orang berguna serta dapat berbakti kepada keluarga dan masyarakat.

“Seniman juga mahu lebih dekat dan mesra dengan masyarakat. Sebab itu, kami turut memilih keluarga yang kurang berkemampuan untuk menerima sumbangan ini.

“Ia menjadi tanggungjawab Seniman untuk membantu siapa saja yang memerlukan dan mungkin program ini akan menjadi acara tahunan Seniman. Saya berharap ia akan mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak terutama pengeluar barangan sekolah,” katanya.

Zed ditemui selepas sidang media acara larian itu, baru-baru ini.

Di samping itu juga, kata Zed, pada 4 Februari depan, Seniman dengan kerjasama Kelab Rekreasi Dan Kecergasan Wilayah Perdana menganjurkan larian amal, Seniman Charity And Fun Run 2018 bagi mengumpul dana Seniman.

“Ia adalah acara larian 10 kilometer (km) dan 5km (Family Fun Run). Acara larian itu untuk 10km dikenakan bayaran RM65 seorang, 5km pula RM50, 5km pelajar sekolah, RM35 dan larian keluarga seramai empat orang ialah RM200.

“Mereka yang seawal usia 10 tahun boleh menyertai acara lain. Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti zumba, pameran, jualan dan sesi bertemu artis.

“Seniman menyasarkan 2,000 penyertaan dan setakat ini lebih 800 peserta sudah mendaftar secara atas talian sejak ia dibuka 15 hari lalu.

“Semoga dengan adanya penganjuran seperti ini, masyarakat dan artis boleh bersama-sama berganding bahu dan mengeratkan silaturahim.

“Penganjuran acara larian ini juga lari daripada kebiasaan yang mengumpul dana dengan mengadakan konsert.

Program larian ini juga selaras dengan seruan kerajaan agar masyarakat hidup sihat,” katanya.

Kata Zed, persatuan tidak meletakkan sasaran kutipan dana kerana program itu kali pertama diadakan.

“Bagaimanapun, saya mengharapkan agar mendapat kerjasama daripada penaja dari segi wang tunai dan mereka yang menyumbang akan mendapat pelepasan cukai,” katanya.

Acara larian itu akan diadakan pada jam 6 pagi bermula di pekarangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, Selangor.

Untuk mendapat maklumat lanjut, LIKE di Facebook -www.facebook.comsenimancharityfunrun2018.

Mereka juga boleh terus mendaftar sebagai peserta secara dalam talian di laman sesawang www.racexasia.com/event/seniman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 3:56 AM