Sherry bermadu dalam drama Syurga Yang Kedua. FOTO Arkib NSTP.
Sherry bermadu dalam drama Syurga Yang Kedua. FOTO Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Sherry Ibrahim, 34, tidak menentang atau menjatuh hukum kepada individu yang hidup berpoligami.

Menjayakan drama Syurga Yang Kedua berkisar poligami, Sherry berkata, dia tidak berhak menilai seseorang yang hidup berpoligami kerana masing-masing ada cerita dan pengalaman sendiri.

“Sejujurnya kalau ditanya kesediaan untuk berpoligami, saya memang tidak bersedia.

“Bagi yang melalui situasi ini, saya menghormati cara dan pendirian mereka. Siapa saya untuk menidakkan ketentuan yang ditetapkan buat mereka?

“Namun dalam perkara ini saya lihat poligami dijalankan kebanyakan lelaki Melayu tidak seperti dianjurkan agama,” katanya.

Sherry akui berdasarkan pemerhatian daripada beberapa kejadian, terlalu banyak perbezaannya.

“Bagi saya ini pilihan dan hak masing-masing. Saya nak bercakap lebih pun tak boleh juga,” katanya kepada Harian Metro.

Sherry juga mendoakan rakan baiknya, Izreen Azminda bahagia dengan perkahwinan dibina.

“Saya sentiasa mendoakan rakan dan orang disayang. Untuk Izreen, saya berharap dia dalam lindungan Allah dan bahagia dengan kehidupan barunya.

“Mungkin ada sebab kenapa dia berahsia mengenai perkahwinannya. Saya dan sesiapa saja tiada hak untuk menjatuhkan hukum,” katanya.

Sebagai kawan kata Sherry, dia turut menghantar mesej kepada Izreen sejurus mendapat tahu berita perkahwinannya dengan pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude.

“Saya tak mahu beri dia tekanan dan menghormati privasinya. Dia ada bersama ketika saya susah dan sebaliknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 7:53 PM