SERINA mahu masyarakat sedar akan kepentingan sukarelawan APM. FOTO Arkib NSTP.
SERINA mahu masyarakat sedar akan kepentingan sukarelawan APM. FOTO Arkib NSTP.
Ramlah Zainal


PELAKON Serina Redzuawan bakal menerima watikah dan pelantikan sebagai Pegawai Pertahanan Awam (Bridget Kesenian) dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu majlis yang akan berlangsung di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia (ALPHA), Bangi, Selangor, esok.

Majlis penyerahan akan disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Serina berkata, dia sangat teruja kerana bakal menerima pelantikan berkenaan.

“Sebenarnya, saya berasa terpanggil untuk membabitkan diri sebagai sukarelawan APM kerana ingin meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat . Saya difahamkan tidak ramai yang menyedari kepentingan sebagai sukarelawan APM ini.

“Diharapkan pembabitan golongan selebriti sebagai sukarelawan APM boleh menarik minat masyarakat termasuk golongan profesional untuk sama-sama turun padang dan membantu APM dalam kejadian bencana alam atau kebakaran.

“Contohnya, tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menggemparkan negara baru-baru ini. Itulah masanya sukarelawan APM turun padang menghulurkan bantuan di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Serina, dia juga menimba pengalaman berharga sepanjang mengikuti kursus Asas Pertahanan Awam Khas (Bridged Kesenian) yang berlangsung di ALPHA.

“Saya juga tidak sangka dianugerahkan sebagai Pelatih Terbaik ketika kursus yang berlangsung selama tiga hari pada 27 hingga 29 September lalu.

“Menerusi kursus yang diadakan di ALPHA, saya dan beberapa selebriti tempatan juga diajar mengenai rawatan kecemasan, bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Selain Serina, beberapa artis lain yang bakal menerima watikah pelantikan ialah Hairi Kool dan Musli Ramly.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 8:16 PM