Ketika kita semua masih bergembira meraikan Aidilfitri, minggu lalu juga satu demi satu berita duka menimpa insan seni tanah air.

Bermula dengan berita kematian pelakon veteran Osman Jailani, 85, Selasa lalu kemudian Saleem Iklim kritikal dan dikejarkan ke hospital Rabu lalu.

Penyanyi kumpulan May, Mus atau Mustaffa Din, 49, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) Isnin lalu selepas demam panas sejak tiga hari.

Osman pelakon popular 80-an dikenali menerusi siri PJ Holdings, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.15 malam di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Singapura.

Perkara itu disahkan cucunya, penyanyi Hady Mirza menerusi laman sosial Facebook kira-kira jam 11 malam Selasa.

Osman atau Mohammad Kechut dimasukkan ke hospital itu pada 23 Jun lalu iaitu dua hari sebelum menyambut Syawal selepas 18 hari terlantar sakit.

Menurut Hady yang juga bekas juara Singapore Idol, datuknya mengalami jangkitan paru-paru selain uzur kerana faktor usia.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Choa Chu Kang, Singapura selepas solat Zuhur. Allahyarham meninggalkan tujuh anak dan hidup sendirian selepas kematian isterinya 15 tahun lalu. Isteri pertamanya meninggal dunia 30 tahun lalu.

Jumaat lalu peminat dan media dikejutkan dengan penyebaran berita kematian Saleem selepas berita dia dimasukkan ke Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras pada Rabu lalu.

Apabila ada yang menyebarkan berita palsu itu di laman sosial, ada pula pihak lain yang tanpa usul periksa terus berkongsi di laman sosial mereka, termasuklah pelakon veteran, Fauziah Nawi.

Ini juga bukan kali pertama Fauziah berbuat demikian kerana sebelum ini pernah berkongsi info mengenai kematian penyanyi Zur Eda di FB.

Jumaat lalu menerusi MStar, Fauziah, 64, memohon maaf atas kekhilafannya berkongsi info dari pihak ketiga mengenai kematian Saleem di laman sosial Facebook miliknya.

Fauziah mengakui kesilapannya tidak membuat semakan terlebih dahulu sebaliknya terus berkongsi di laman sosial. Kesannya, dia dihentam teruk kerana menyebarkan berita palsu.

Pelakon mesra dengan panggilan ibu di kalangan penggiat seni itu mengakui kejadian kali kedua ini membuatkan dirinya serik untuk berkongsi sebarang maklumat di laman sosial pada masa akan datang.

Jumaat lalu juga, rombongan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) diketuai Presiden, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin menziarah Saleem di PPUKM. Keadaan penyanyi Suci Dalam Debu itu stabil tetapi sukar untuk bercakap.

Isterinya, Julia Bachok yang sentiasa berada di sisi Saleem mengesahkan keadaan suaminya stabil cuma demam panasnya tidak menentu ada turun naik.

Katanya, doktor sebelum ini mengesan ketumbuhan di bawah perut Saleem dan virus penyakit itu merebak ke bahagian paru-paru.

Tekanan darah rendah serta demam tidak menentu disebabkan jangkitan kuman menyebabkan Saleem diletakkan di bawah jagaan pakar di PPUKM.

Saleem dijangka menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu tetapi terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan keadaannya yang agak lemah.

Julia juga akui kecewa dengan berita palsu mengatakan suaminya meninggal dunia sebagaimana disebarkan sejak Khamis malam dan pagi Jumaat lalu.

Dia berharap masyarakat tidak mudah percaya dengan berita berbentuk spekulasi yang dikongsi di laman sosial. Katanya, peminat boleh merujuk berita daripada sumber media dipercayai serta Instagram @aku_saleem milik Saleem atau @ju_saleem miliknya bagi mendapatkan maklumat sahih.

Sayang sekali kerana sikap tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu ini bagaikan satu trend dan menjadi kebanggaan pula akhir-akhir ini.

Sebaiknya kita doakan Saleem cepat sembuh dan bukannya sesuka hati menyebarkan berita yang tidak benar. Bayangkan bagaimana perasaan keluarga mereka apabila berhadapan dengan berita itu. Tidak mustahil apa yang dilakukan hari ini menimpa kepada empunya diri pada masa akan datang.

Sehingga petang Jumaat lalu, Julia berkongsi mengenai keadaan suaminya semakin stabil selepas lima hari dibawah jagaan pakar PPUKM.

Katanya, jika sehari sebelum itu bercakap pun tidak mahu tetapi hari ini boleh ketawa dan bergurau. Saleem juga tidak demam lagi dan mungkin selepas kesihatannya stabil, doktor akan melakukan pembedahan membuang ketumbuhan di bawah perutnya beberapa hari lagi.

Sementara itu keadaan Mus yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HKL Isnin lalu juga makin stabil.

Mus yang mengalami demam panas selama tiga hari, diletakkan dalam keadaan koma oleh doktor ekoran situasi dirinya yang terlalu lemah selain bagi membolehkan keadaannya stabil.

Menurut isterinya, Suraya Bahari, Mus demam panas selama tiga hari dan mendapat rawatan di klinik tetapi dikejarkan ke HKL kira-kira jam 10 pagi Isnin lalu apabila keadaannya makin lemah dan seperti diserang sawan membuatkan mulutnya berbuih.

Katanya, pada mulanya doktor mengesyaki Mus menghidap denggi tapi apabila diperiksa tiada penyakit itu cuma platlet darahnya agak rendah.

Doktor mengatakan terdapat kuman dalam darahnya mungkin berpunca dari pengambilan ubat yang salah sebelum ini.

Keadaan Mus bertambah stabil selepas dipindahkan dari HKL ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang pada petang Rabu.

Khamis lalu doktor mengesahkan Mus mengalami antibodi badan yang lemah dan kekurangan enzim dalam darah sehingga menyebabkan dia menjadi terlalu lemah.

Penyanyi itu perlu menjalani rawatan plasma exchange bagi meningkatkan sel darah merah dalam badan.

Suraya juga meminta mereka yang menziarah suaminya supaya tidak mengambil gambar Mus terlantar sakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 2:07 PM