Kuala Lumpur: Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) bakal mengadakan mesyuarat exco dalam tempoh terdekat bagi menentukan nasib seorang atlet bina badan negara yang gagal ujian doping Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lalu.

Setiausaha Kehormat PBBM Lt Kdr (B) Kamaruzaman Kadir menerusi satu kenyataan berkata, mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib PBBM yang bersidang pada 21 Oktober lalu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah mencapai kata putus bentuk hukuman yang bakal dikenakan ke atas atlet berkenaan.

Beliau bagaimanapun memaklumkan keputusan itu perlu dibentang terlebih dulu kepada anggota exco PBBM sebelum hukuman yang diputuskan itu dapat diambil ke atas atlet berkenaan.

Kamaruzaman berkata atlet berkenaan berpuas hati dengan keputusan ujian sampel A yang dijalankan ADAMAS dan tidak berhasrat membuat ujian kali kedua ke atas sampel B.

Katanya, atlet berkenaan gagal dalam ujian doping yang dijalankan ADAMAS pada 1 September lalu sebelum kontinjen negara berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Bina Badan Asia ke-49 yang berlangsung dari 29 September hingga 5 Oktober lalu.

Kamaruzaman berkata atlet berkenaan dimaklumkan berhubung keputusan ujian dopingnya dan dilarang daripada menyertai kejohanan itu dan kejohanan seterusnya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan seorang atlet bina badan terkenal gagal dalam ujian doping dijalankan ADAMAS sebelum menyertai kejohanan di luar negara pada Oktober lalu.

Dunia sukan negara sebelum ini dikejutkan dengan penggantungan atlet angkat berat Pahang Mohd Azril Huzairi Ramli (gambar) oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) daripada menyertai mana-mana kejohanan selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang D-methamphetamin ketika menyertai satu kejohanan di luar negara. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:30 AM