SALOMA Biopic, lakonan Nabila Huda sebagai Saloma dan Azhan Rani (AR Tompel) mencetuskan kontroversi.
SALOMA Biopic, lakonan Nabila Huda sebagai Saloma dan Azhan Rani (AR Tompel) mencetuskan kontroversi.

Hampir semua anak AR Tompel mengaku cukup terkesan dari segi emosi dan tanggapan masyarakat selepas Saloma Biopic ditayangkan di Astro First.

Dalam telefilem itu, Adlin mendefinisikan watak seniman itu ditonjolkan sebagai watak gelap dan menjadi punca penderitaan Saloma sebelum berkahwin dengan P Ramlee.

Malah dalam nada keras tapi berlapik Adlin berkata, arwah bukan seorang yang kuat cemburu, tidak suka berkata kesat dalam realiti seharian dan sangat menghormati insan lain.

"Dari segi penulisan, pengarahan dan penyiaran, ia satu perkara yang tidak bertanggung jawab dan tidak berakidah. Ia berpotensi membawa kesan buruk dari generasi ke generasi.

"AR Tompel ada kekuatan sendiri tanpa perlu bergantung pada sesiapa. Kami tidak mahu menjadi anak-anak yang bodoh dan tahu melakukan lawak bodoh saja," katanya.

Bagi Adlin, ia interpretasi melulu daripada penulis skrip tanpa rujukan sah daripda waris sebenar AR Tompel dari susur galur isteri-isteri lain.

Kata AR Badul, kalau diikutkan sejarah, hubungan antara Saloma dan P Ramlee bermula di Singapura dan arwah bapanya yang banyak menyahut kepincangan yang berlaku antara kedua-dua tokoh itu ketika hayat mereka.

Tegasnya, kalau benar mereka berpincang dek sifat cemburu, mustahil kubur mereka diletakkan bersebelahan kerana khalayak seni ketika itu tahu mereka berdua bersahabat baik walaupun pernah beristerikan Saloma.

"Masa hayat Saloma pun, dia tidak pernah bangkang isu yang cuba menunjukkan mereka pernah berdendam. "Paling saya kecil hati babak AR Tompel menghisap rokok dan dihembuskan ke arah Saloma. Ia satu fitnah apabila menunjukkan seolah menggunakan ilmu 'guna-guna' untuk mendapatkan Saloma.

"Arwah bapa juga bukan seorang yang suka terkinja-kinja, kuat menghisap rokok dan suka menggeliat," katanya.

Sementara itu Amran akui pernah ditanya beberapa individu yang percaya sikap arwah kaki perempuan dan merosakkan hidup Saloma.

"Pernah saya pergi membeli-belah dan dengar orang kata, "Kasihan Saloma sebab Tompel buat macam tu", tapi saya hanya ketawa kerana tak tahu cerita sebenar.

"Sehinggalah satu hari saya ke rumah Badul dan menonton sendiri. Saya sedih dan terluka dengan beberapa babak yang tak jujur mengenai arwah bapa," katanya menangis.

Adlin yang bertindak sebagai jurucakap pihak keluarga, membuat tuntutan supaya telefilem itu dihentikan serta merta dan pihak penyiar serta penerbit memohon maaf secara terbuka atas 'kerosakan' yang terjadi.

Malah, pelakon, pengarah dan pengacara itu turut berkata, sebanyak 29 adegan sangat sensitif dari konteks skrip dan pengarahan berkenaan arwah bapanya.

Perincian penuh 29 babak itu hanya akan dihuraikan Adlin apabila melakukan pertemuan tertutup dengan produksi penyiar.

AR Tompel atau nama sebenar, Aman Ramli Jaafar, dilahirkan di Asahan, Indonesia pada 24 Oktober 1918 dan meninggal di Kuala Lumpur pada 30 Januari 1973 ketika usia 54 tahun kerana kemalangan jalan raya di Setapak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 9:13 AM