STADE de France jadi venue aksi pembukaan dan final.
STADE de France jadi venue aksi pembukaan dan final.

Paris: Badan induk bola sepak Eropah UEFA mengesahkan pusingan akhir EURO 2016 akan tetap berlangsung di Perancis seperti yang ditetapkan walaupun Paris dilanda insiden serangan berani mati, Jumaat lalu.

“Undian pusingan akhir EURO akan diteruskan mengikut jadual seperti ditetapkan di Palais des Congres Paris pada 12 Disember manakala aksi pusingan akhir akan berlangsung di Perancis dari 10 Jun hingga 10 Julai 2016,” kata UEFA dalam kenyataan semalam.

Serangan yang didakwa didalangi Kumpulan Militan Negara Islam (IS) itu berlaku di bar, restoran dan dewan konsert di luar stadium, Jumaat lalu. Sekurang-kurangnya 129 terkorban selain 352 yang lain cedera. Insiden itu yang paling buruk dialami Perancis sejak Perang Dunia Ke-2.

“Berikutan insiden di Paris, Jumaat lalu, UEFA dan EURO 2016 SAS sekali lagi mengesahkan komitmen mereka dalam mengutamakan tahap keselamatan mengikut pelan sebelum ini,” kata kenyataan itu.

“Ketika kami menganggap tidak ada sebab mengapa EURO bakal dijadikan sasaran serangan, ancaman pengganas sudah diambil kira sejak dari awal perancangan kami.”

Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Jacques Lambert berkata, tahap risiko menjelang pusingan akhir Euro 2016 semakin meningkat.

“EURO 2016 SAS dan semua yang terbabit dalam penganjuran akan meneruskan usaha sama untuk memantau risiko sepanjang kejohanan itu nanti,” kata UEFA.

“Sejak tiga tahun lalu, EURO 2016 SAS bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan tahap keselamatan kejohanan dan kami yakin langkah sewajarnya akan diambil untuk mengelak sebarang kemungkinan.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:41 AM