LAYAR gergasi akan dipasang di Dataran Bandaraya Johor Bahru.
LAYAR gergasi akan dipasang di Dataran Bandaraya Johor Bahru.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjanjikan sambutan meriah sekiranya pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mencipta sejarah muncul juara perlawanan akhir Piala AFC bertemu FC Istiklol malam ini.

Datuk Bandar MBJB A Rahim Nin berkata, sekiranya Johor DT menang, sejarah berganda bakal tercipta apabila muncul pasukan pertama Malaysia dan Asia Tenggara merangkul Piala AFC.

“Kami mengatur pelbagai program untuk membolehkan penyokong menyertainya sebelum, ketika dan selepas perlawanan akhir itu nanti. Sebagaimana yang diuar-uar, MBJB akan menayangkan secara langsung perlawanan itu di Dataran Bandaraya Johor Bahru, bermula dengan pelbagai program di kawasan berkenaan, sejak jam 10 pagi.

“MBJB menyediakan 50 hamper bagi pertandingan tendangan penalti, kuiz, perlawanan bola sepak persahabatan dengan veteran Johor DT selain jualan cenderahati daripada Johor Southern Tigers. Kami doakan kemenangan Johor DT dan jika piala berkenaan berjaya dibawa pulang ke Johor, MBJB akan adakan majlis sambutan hebat bagi meraikan detik bersejarah ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

A Rahim berkata, pihaknya menjunjung kasih atas usaha dan pengorbanan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim sebagai tulang belakang utama kebangkitan skuad Harimau Selatan hingga menempa nama di persada liga bola sepak tempatan serta mengharumkan nama negara.

“Tunku Ismail yang juga Penaung Diraja PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor) banyak berjasa kepada pembangunan bola sepak negeri sehingga menjadi pasukan dihormati dan digeruni.

“Banyak perubahan yang dibawa baginda dan sudah terbukti, sukan bola sepak menyatupadukan rakyat Johor. Bangsa Johor melalui pengamatan kami di stadium, pelbagai kaum, tidak kira agama bersatu memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kemenangan berpihak kepada Johor DT, MBJB sudah memberi lampu hijau kepada PBNJ untuk membakar bunga api bagi meraikan kemenangan bersama penyokong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, 3 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:50 AM