LORENZO (kiri) hanya ketinggalan 11 mata di belakang Rossi.
LORENZO (kiri) hanya ketinggalan 11 mata di belakang Rossi.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Sepang: Bahang perebutan takhta kelas MotoGP semakin tegang menjelang Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Ahad ini selepas pendahulu keseluruhan dari pasukan Yamaha Valentino Rossi mendakwa juara bertahan Marc Marquez seolah-olah membantu Jorge Lorenzo untuk memenangi kejuaraan dunia ketika GP Australia minggu lalu.

Rossi yang hanya mempunyai kelebihan 11 mata berbanding rakan sepasukannya dari Sepanyol itu berkata, Marquez dari pasukan Respol Honda dilihat membantu rakan senegaranya itu sejak awal perlumbaan.

“Jika berdepan satu lagi perlumbaan seperti di Phillip Island, kami perlu mengadakan perbincangan dengan Marquez.

“Sebab ketika perlumbaan berlangsung, sukar untuk memahami situasi sebenar tetapi selepas perlumbaan, barulah saya sedar dia (Marquez) jelas seperti ‘bermain-main’ dengan kami.

“Ini kerana, saya rasa sasaran utamanya bukanlah untuk menang tetapi membantu Lorenzo meraih lebih banyak mata.

“Jelas sekali bermula dari Phillip Island, Lorenzo mempunyai seorang ‘penyokong’ setia yang baru dan individu itu ialah Marquez,” katanya semalam.

Pada saingan di Phillip Island itu, berlaku persaingan sengit membabitkan empat pelumba dengan Marquez muncul juara, Lorenzo kedua, Anrdea Iannone ketiga dan Rossi keempat.

Bagaimanapun pada sidang media sama, Marquez menafikan tuduhan Rossi sambil menegaskan dia hanya akan membantu rakan sepasukan di Repsol Honda.

“Saya hanya fokus diri sendiri. Kalau mahu membantu, sudah tentu saya mengutamakan rakan sepasukan berbanding pelumba lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 10:31 AM