Hamim (dua dari kiri) bersama Hafsah (kiri) pada Forum Usahawan Mikro di Hotel Premiera, kelmarin.
Hamim (dua dari kiri) bersama Hafsah (kiri) pada Forum Usahawan Mikro di Hotel Premiera, kelmarin.

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI menggesa usahawan mikro agar tidak bergantung kepada kaedah perniagaan tradisional sebaliknya menjalankan perniagaan mereka dalam talian.

Timbalannya, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, medium Internet dan transaksi tanpa tunai jadi pilihan pengguna masa kini kerana lebih menjimatkan masa dan kos.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terdiri daripada syarikat mikro, kecil dan sederhana merangkumi 97.3 peratus perniagaan berdaftar negara dan daripada 645,136 PKS yang berdaftar 77 peratus merupakan usahawan mikro,” katanya selepas menyampaikan ucapan merasmikan Forum Usahawan Mikro bertemakan Realisasi Perniagaan Anda bersempena Karnival Usahawan Mikro anjuran SME Corp Malaysia di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan melalui SME Corp memperinci strategi bagi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan perusahaan mikro dengan menekankan peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, inovasi dan automasi.

Katanya, sepanjang tahun ini sebanyak 154 program dilaksanakan oleh SME Corp sebagai agensi penyelaras pusat, bagi mempergiat pertumbuhan PKS dengan peruntukan berjumlah RM13.35 bilion.

Sementara itu, Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim berkata, penganjuran forum sehari itu antara lain bertujuan menyokong usaha kerajaan meningkatkan formalisasi perniagaan serta mengurangkan jumlah perniagaan tidak berdaftar dalam kalangan usahawan mikro.

Katanya, forum juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan mikro mengenai perniagaan secara elektronik atau e-bayaran dan betapa pentingnya penggunaan teknologi serta inovasi dalam menggalakkan transformasi perniagaan.

“Sehingga kini sejumlah 36,677 usahawan mikro memperoleh manfaat daripada transaksi jualan tanpa tunai dengan nilai RM1.77 bilion direkodkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda cenderung melakukan transaksi perniagaan serta urusan harian dalam talian, justeru, trend kelompok yang meliputi 18.9 peratus daripada kira-kira 30 juta penduduk negara dan pasaran itu harus diberi perhatian. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:05 AM