SAUFI (tengah) menerima jersi apabila menjuarai kategori Terbuka Lelaki.
SAUFI (tengah) menerima jersi apabila menjuarai kategori Terbuka Lelaki.
AKSI peserta ketika bersaing di laluan tidak berturap.
AKSI peserta ketika bersaing di laluan tidak berturap.
Oleh Mohamed Sahidi Yusof


Bagi ‘kaki’ Mountain Bike (MTB), nikmat berlumba bukan sekadar pada kepantasan sebaliknya terhadap ketahanan diri ketika meredah laluan mencabar.

Bagi mereka, lebih lasak, lebih mencabar dan pastinya memberi lebih keseronokan.

Itu pengalaman 700 pelumba Kejohanan Gugusan Kemahang Mountain Bike (MTB) Challenge Jamboree Wilayah Kelantan 2015, yang diadakan di Tanah Merah, Kelantan. baru-baru ini.

Dengan cabaran sejauh 49 kilometer, peserta bukan saja terpaksa mencabar diri untuk menamatkan kayuhan yang penuh halangan, juga menahan diri berikutan cuaca panas.

Menjadikan ladang kelapa sawit FELDA Gugusan Kemahang 2 sebagai lokasi perlumbaan, kejohanan kali kedua anjuran FELDA Wilayah Kelantan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Jajahan Tanah Merah, Majlis Belia FELDA itu menampilkan enam kategori iaitu Terbuka Lelaki, Veteran, Belia, Master, Terbuka Wanita dan Junior.

Dilepaskan oleh Presiden Kelab Sukan Rancangan FELDA, Norzuki Mustafa pada kira-kira jam 8.30 pagi, perlumbaan menyaksikan mereka bergerak dalam kelompok yang besar.

Namun, selepas check-point pertama, kumpulan besar pelumba ini mula terpisah dalam menyaksikan pembentukan beberapa kumpulan kecil.

Aksi lebih menarik dapat dilihat apabila beberapa kumpulan kecil ini mula bersaing dan saling kejar-mengejar untuk menjarakkan diri antara satu sama lain.

Malah, sebaik berada dalam kawasan ladang kelapa sawit yang lebih dalam, kelihatan peserta terpaksa bergelut untuk melepasi laluan berbukit dan tidak rata selain laluan berliku yang perlu dilalui secara berhati-hati.

Disebabkan itu, ada antara peserta tewas awal dan tidak dapat menamatkan perlumbaan apabila cedera akibat terjatuh seterusnya memadam semangat mereka untuk terus berkayuh.

Dalam perlumbaan ini, peserta dari Kelab Sofyra Coffee Cycling, Terengganu, Saufi Senan, 25, menjadi peserta pertama tiba di garisan penamat dan muncul juara bagi kategori Terbuka lelaki dengan catatan 1 jam 45 minit.

Pengurus Besar FELDA Wilayah Gua Musang, Che Noh Che Pa, menyifatkan kejohanan Gugusan Kemahang MTB Challenge 2015 amat berjaya kerana turut membabitkan 60 pelumba daripada beberapa kelab berbasikal dari Thailand.

“Setakat ini, ia adalah program terbesar MTB yang kita anjurkan dalam usaha memupuk semangat kesukanan dalam kalangan warga FELDA dengan masyarakat luar,” katanya.

Sehubungan itu, kejayaan penganjuran kali ini mendorong pihaknya untuk menganjurkan kejohanan berbasikal yang lebih besar dengan pembabitan

lebih ramai pelumba dari seluruh negara pada masa depan.

Sementara itu, pelumba wanita Kelab Berbasikal Universiti Bangkok, Thailand, Supuksorn Nuntana, 26, mengakui seronok dengan venue perlumbaan yang menyaksikan pelbagai cabaran yang menduga skil kayuhannya.

Katanya, pengalaman itu sungguh berguna buat pelumba kerana ia bukan saja mengasah teknik mereka dalam skil mengendalikan basikal, juga pada aspek ketahanan diri.

“Laluan memang mencabar tetapi cabaran ini amat bermakna bagi peminat sukan MTB kerana kepuasan akan hadir bila dapat menamatkan kayuhan.

“Biarpun ada kala cabaran ini menjadikan jarak terasa sangat jauh dan terasa seperti ingin mengalah, ia akan hilang apabila kita disajikan dengan pemandangan alam yang cukup memukau,’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:00 AM