Agensi

Beirut: Kumpulan al-Qaeda Syria dan sekutunya semalam menawan pangkalan terakhir yang dikuasai tentera negara itu di Idlib, sekali gus memberi tamparan terbaru kepada rejim Presiden Bashar al-Assad.

Barisan al-Nusra dan sekutunya yang kebanyakan terdiri daripada kumpulan pejuang Islam menawan lapangan terbang tentera Abu Duhur selepas mengepungnya sejak dua tahun lalu.

“Selepas serangan besar-besaran yang dilancarkan sejak Isnin lalu, Barisan al-Nusra dan sekutunya menguasai sepenuhnya lapangan terbang itu,” kata kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria.

Al-Nusra mula memasuki pangkalan berkenaan awal semalam.

Ketua kumpulan pemerhati berkenaan Rami Abdel Rahman berkata, penentang mengambil kesempatan terhadap kejadian ribut pasir yang melanda sebahagian besar Asia Barat kelmarin hingga menyebabkan pesawat rejim sukar melakukan serangan.

“Tiada lagi tentera Syria di Idlib. Askar yang setia kepada Bashar mempertahankan pangkalan itu sejak dua tahun lalu berundur ke Aleppo di timur,” kata Rami.

Televisyen Syria mengesahkan kekalahan itu dengan berkata, tentera negara itu sudah meninggalkan pangkalan berkenaan.

Abu Duhur sudah sekian lama menjadi sasaran kumpulan penentang yang menawan pintu masuk ke lapangan terbang itu dan beberapa kedudukan di sekitarnya pada hujung Ogos lalu.

Dengan kejatuhan Abu Duhur, kehadiran tentera Syria di Idlib hanya di Fuaa dan Kafraya, dua penempatan Syiah yang kini dikepung oleh penentang.

Peperangan yang meletus di Syria sejak empat tahun lalu menyebabkan 240,000 terbunuh dan jutaan lagi hilang tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:15 AM